..terimalah seadanya…

Terimalah seadanya’. Ungkapan yang sering saya dan juga para pembaca sekalian dengar dan baca.. Walaupun ringkas namun ia amat berharga untuk dihayati. Dalam konteks bicara saya di sini, saya ingin merujuk kepada ‘manusia perse’. Bukan dari segi objek mahupun nilaian harta.

‘Terimalah seadanya’. Namun disitu tidak bermakna usaha memperbaiki diri tidak perlu dilakukan. Tidak juga bermaksud berserah pada segala-galanya yang ditentukan. Cuma ia sebagai panduan kepada kita untuk lebih menghargai dan memahami. Kerana apabila kita menghargai dan memahami, saudara kita akan rasa dihargai dan difahami.

Kita perlu akui kelebihan kita tidak sama. Kecenderungan kita juga tidak sentiasa berada pada arah yang sama. Perbezaan kita wujud kerana latarbelakang kita yang berbeza. Juga pada asuhan kita yang tidak serupa. Bahkan pemikiran kita juga tidak selalunya seia sekata. Fahamilah dia dan ‘terimalah seadanya’.

Kita sering dibanding-bandingkan. Saya juga tidak terkecuali dibanding-bandingkan. Saya akui saya punya banyak kelemahan. Jangan dibandingkan saya dengan rakan-rakan yang hebat berbicara. Kerana saya bukanlah orang yang bijak menutur kata. Pintar bermain dengan kata-kata dan bahasa. Bahkan jauh sekali bermadah pujangga.

Pernah saya mencuba untuk menulis. Namun ternyata di situ juga saya tiada kelebihan. Maksud yang ingin disampaikan lari dari apa yang dihajatkan. Fikiran menjadi buntu. Idea tidak datang untuk membantu. Keinginan ada namun keupayaan masih belum mampu.

Jika disenarai satu persatu kekurangan yang ada pada saya, sudah tentulah bicara ini akan semakin panjang. Cukuplah sekadar apa yang saya nyatakan. Mungkin bertambah ‘ramah’ bicara ini walaupun hakikatnya saya sering dianggap bukan seorang yang peramah. Itu juga kekurangan saya. Tidak pantas dalam berbual bicara.

Walau apa pun, saya cuba memberikan yang terbaik. Dan buat kesekian kalinya, kepada pembaca-pembaca yang mengenali saya, saya pohon… ‘terimalah saya seadanya’.

Advertisements

..kumpul dan simpan..

Baru sebentar tadi dapat barang untuk dijadikan tambahan koleksi simpanan. Terbayang-bayang koleksi yang telah terkumpul sekarang. Bukan tertumpu pada satu jenis, tetapi bercampuk aduk. Apa nak buat.. dah memang tabiat saya sebegini. Gemar mengumpul sesuatu. Maksudnya? Hm.. sukar nak dijelaskan. Untuk memudahkan cerita, tabiat menyimpan ataupun mendapatkan ‘sesuatu’ sudah sebati dengan diri.

Imbasan kisah di sebuah kedai..
“Hisham, ko beli makanan ni sebab ko nak hadiah percuma tu kan?”
“Dah tau dah, ko beli milo tu sebab ko nak cawan percuma.. betul tak?”
He he.. selembar kisah sahaja. Itu cuma dari satu segi. Suka mengumpul barangan-barang percuma hasil pembelian barang lain.

Apa lagi tabiat mengumpul yang ada? Kisah tadi tidaklah penting sangat. Yang penting adalah tabiat mengumpul yang lagi satu. Ia lahir dari sifat menghargai, yang turut meliputi rasa kasih, sayang juga rasa terima kasih. Dengan bahasa mudah, apa sahaja yang diberikan oleh orang lain saya akan simpan dan jaga sebaiknya.

Surat ucapan tahniah dari seorang ustaz waktu saya di tingkatan satu masih lagi elok tersimpan dalam kotak. Begitu juga surat daripada kawan-kawan bilamana saya berpindah sekolah. Bahkan surat daripada PILOT SDN. BHD kerana berjaya mendapat saguhati dalam peraduan masih lagi tersimpan walaupun lebih 5 tahun berlalu!

Cenderamata-cenderamata yang diterima tetap tersimpan elok (walaupun ada yang tak dapat diselamatkan daripada anak-anak saudara). Penanda buku yang selalu diperolehi ketika mengikuti majlis di UM juga tersimpan kemas. Macam-macam jenis dan bentuk. Semuanya mengembalikan nostalgia di zaman bergelar mahasiswa.

Dan, antara ‘sesuatu’ yang dikumpul, yang tidak boleh diterima oleh kawan-kawan saya ialah tabiat mengumpul SMS dan EMAIL (bila teknologi ini berkembang)! Bagi saya ia bukan sesuatu yang pelik. Memandangkan handset saya cuma boleh menyimpan 25 SMS sahaja, maka saya telah menyediakan buku khas untuk menyalin SMS yang telah diterima. Ini yang tidak boleh diterima oleh kawan-kawan saya!!( jangan terkejut sebab ada juga yang telah terpengaruh dengan tabiat saya.. he he)

Jika sebelum ini surat dan kad yang diterima mudah untuk disimpan, tetapi bila munculnya teknologi seperti SMS ni, maka terasa sayang jika terpaksa di’delete’ mesej yang telah diterima. Disebabkan itu, setiap salinan SMS dan EMAIL yang diterima perlu dicatat, bahkan lengkap dengan tarikh dan masa. Senang untuk dibuat rujukan. Jangan sesekali hendak menipu saya kerana saya ada salinan yang membuktikan segala-galanya!! Ia lebih kurang sama dengan memoir / catatan harian. Saya boleh kesan bila kali terakhir si polan hantar SMS kepada saya… memang menyeronokkan…

Tapi, terkadang ada juga SMS yang tak sempat disalin dan ada yang dipadam terus. Bergantung kepada ‘budi bicara’ saya sendiri.

Apa-apa pun, tabiat mengumpul dan menyimpan memang sebati dalam diri saya. Simpanan surat
dan kad raya dah penuh satu kotak.. alat tulis dan rantai kunci pun boleh tahan juga. Buku-buku dan majalah, tak perlu dinyatakan. Cenderamata. Sampul surat. Dan segala-galanya. Terima kasih kepada mereka yang telah memberikan kepada saya. Jangan risau kerana saya akan memastikan ia dalam keadaan baik. Dan tidak lupa juga SMS dan EMAIL yang dihantar kepada saya… he he.

bicara buat pertama kali

Assalamualaykum..Alhamdulillah, proses untuk berpindah BLOG berjaya di atasi. Cuma apa yang sering bermain dalam diri ialah ‘apa yang akan kurakamkan’ di sini. Akhirnya keputusan diambil untuk tidak menspesifikkan nukilan yang bakal dihasilkan.

Memang terasa janggal untuk memulakan. Seakan kehabisan idea sedangkan tatkala tidak berhadapan dengan komputer, terlalu banyak yang ingin diceritakan. Mungkin itu kelemahan seorang manusia bernama HISHAM.

pemergianmu..


Ya Rasulallah…

Kau masih tersenyum mengubat lara
Selindung derita yang kau rasa..
Senyuman yang mententeramkan
Setiap insan yang kebimbangan..

Hakikatnya tak tertanggung lagi derita
Dipangkuan isterimu Humaira’
Menunggu saat ketikanya
Diangkat rohmu bertemu Yang Esa..

Tangan dicelup di bejana air

Kau sapu di muka mengurangkan pedih
Beralun zikir menutur kasih
Pada umat dan akhirat…

Dan tibalah waktu ajal bertamu
Penuh ketenangan jiwamu berlalu
Linangan air mata syahdu
Iringi pemergianmu…

Oh sukarnya untuk umat menerima
Bahkan payah untuk umar mempercaya
Tetapi iman merelakan jua
Bahawa manusia kan mati akhirnya…..

Tak terlafaz kata mengungkap hiba
Gerhanalah seluruh semesta
Walaupun kau telah tiada
Bersemarak cintamu selamanya..

Ya Rasulallah
Kau tinggalkan kami warisan yang abadi
Dan bersaksilah sesungguhnya
Kami merinduimu…

::PEMERGIANMU:: inteam ‘tiada lagi kasih’