..kumpul dan simpan..

Baru sebentar tadi dapat barang untuk dijadikan tambahan koleksi simpanan. Terbayang-bayang koleksi yang telah terkumpul sekarang. Bukan tertumpu pada satu jenis, tetapi bercampuk aduk. Apa nak buat.. dah memang tabiat saya sebegini. Gemar mengumpul sesuatu. Maksudnya? Hm.. sukar nak dijelaskan. Untuk memudahkan cerita, tabiat menyimpan ataupun mendapatkan ‘sesuatu’ sudah sebati dengan diri.

Imbasan kisah di sebuah kedai..
“Hisham, ko beli makanan ni sebab ko nak hadiah percuma tu kan?”
“Dah tau dah, ko beli milo tu sebab ko nak cawan percuma.. betul tak?”
He he.. selembar kisah sahaja. Itu cuma dari satu segi. Suka mengumpul barangan-barang percuma hasil pembelian barang lain.

Apa lagi tabiat mengumpul yang ada? Kisah tadi tidaklah penting sangat. Yang penting adalah tabiat mengumpul yang lagi satu. Ia lahir dari sifat menghargai, yang turut meliputi rasa kasih, sayang juga rasa terima kasih. Dengan bahasa mudah, apa sahaja yang diberikan oleh orang lain saya akan simpan dan jaga sebaiknya.

Surat ucapan tahniah dari seorang ustaz waktu saya di tingkatan satu masih lagi elok tersimpan dalam kotak. Begitu juga surat daripada kawan-kawan bilamana saya berpindah sekolah. Bahkan surat daripada PILOT SDN. BHD kerana berjaya mendapat saguhati dalam peraduan masih lagi tersimpan walaupun lebih 5 tahun berlalu!

Cenderamata-cenderamata yang diterima tetap tersimpan elok (walaupun ada yang tak dapat diselamatkan daripada anak-anak saudara). Penanda buku yang selalu diperolehi ketika mengikuti majlis di UM juga tersimpan kemas. Macam-macam jenis dan bentuk. Semuanya mengembalikan nostalgia di zaman bergelar mahasiswa.

Dan, antara ‘sesuatu’ yang dikumpul, yang tidak boleh diterima oleh kawan-kawan saya ialah tabiat mengumpul SMS dan EMAIL (bila teknologi ini berkembang)! Bagi saya ia bukan sesuatu yang pelik. Memandangkan handset saya cuma boleh menyimpan 25 SMS sahaja, maka saya telah menyediakan buku khas untuk menyalin SMS yang telah diterima. Ini yang tidak boleh diterima oleh kawan-kawan saya!!( jangan terkejut sebab ada juga yang telah terpengaruh dengan tabiat saya.. he he)

Jika sebelum ini surat dan kad yang diterima mudah untuk disimpan, tetapi bila munculnya teknologi seperti SMS ni, maka terasa sayang jika terpaksa di’delete’ mesej yang telah diterima. Disebabkan itu, setiap salinan SMS dan EMAIL yang diterima perlu dicatat, bahkan lengkap dengan tarikh dan masa. Senang untuk dibuat rujukan. Jangan sesekali hendak menipu saya kerana saya ada salinan yang membuktikan segala-galanya!! Ia lebih kurang sama dengan memoir / catatan harian. Saya boleh kesan bila kali terakhir si polan hantar SMS kepada saya… memang menyeronokkan…

Tapi, terkadang ada juga SMS yang tak sempat disalin dan ada yang dipadam terus. Bergantung kepada ‘budi bicara’ saya sendiri.

Apa-apa pun, tabiat mengumpul dan menyimpan memang sebati dalam diri saya. Simpanan surat
dan kad raya dah penuh satu kotak.. alat tulis dan rantai kunci pun boleh tahan juga. Buku-buku dan majalah, tak perlu dinyatakan. Cenderamata. Sampul surat. Dan segala-galanya. Terima kasih kepada mereka yang telah memberikan kepada saya. Jangan risau kerana saya akan memastikan ia dalam keadaan baik. Dan tidak lupa juga SMS dan EMAIL yang dihantar kepada saya… he he.

Leave a comment