cuti lagi…

MAKLUMAN.. MINGGU HADAPAN SAYA AKAN MENGHADIRI KURSUS SELAMA SEMINGGU DI MELAKA… SAYA TIDAK DAPAT UNTUK MEMASUKKAN ENTRI BARU… BEGITU JUGA MINGGU INI KERANA KEADAAN TAK MENGIZINKAN…

Catatan: Ceramah SYARIAH DICABAR dan ISU MURTAD di Kuantan..

Ini merupakan di antara sedikit catatan ketika menghadiri Ceramah/taklimat pertahankan Syariah serta isu murtad, bertempat di dewan JAIP malam tadi. Sedikit kekesalan kerana saya tidak dapat merakamkan dalam bentuk foto.Catatan:

Kehadiran hadirin bermula sebelum waktu isyak. Menyaksikan limpahan umat manusia bagi menunggu majlis dimulakan. Di perkarangan dewan, tandatangan dikutip bagi mendapatkan sokongan. Risalah serta brosur turut diedarkan pegawai yang bertugas.

9.30 mlm ceramah/ taklimat dimulakan oleh Encik Abd rahim, peguam dari KL dan merupakan di antara 8 orang yang menduduki kedudukan tinggi di dalam PEMBELA. Antara isi ceramah/ diskusi:

  1. Umat Islam tidak seharusnya hanya menjadi ‘lalat’ sahaja yang hanya pandai berbicara tanpa sebarang tindakan di ambil. Sebaliknya, perlu menjadi ‘ lebah’ yang ‘menyengat’ kerana pihak yang bongkak ini semakin biadab dalam mengganggu sistem dan agama Islam.
  2. Menerangkan kes-kes murtad yang pernah berlaku serta menegaskan kepentingan kes lina Joy ini kerana implikasinya terlalu besar sekiranya keputusan memihak kepada Lina Joy.
  3. Menerangkan kejengkelan terhadap Bar Council yang memihak kepada Lina Joy atas nama human rights dan menggunakan platform BC itu sendiri sedangkan 43% daripada ahli BC merupakan orang Islam. BC sebagai badan berkanun seharusnya bertindak berkecuali namun apa yang berlaku, BC menjadi penyokong kepada kes ini. Lantas atas inisiatif maka tertubuhlah PEMBELA yang diketuai Zainur Zakaria untuk menunjukkan pendirian atas kes ini.

10.30 mlm: Sesi ceramah dan penerangan daripada Tuan Haji Azmi Abd Hamid, pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (TERAS). Dalam sesi ini beliau banyak menekankan betapa biadab dan bongkaknya mereka yang memperjuangkan hak asasi ini. Bahkan ditegaskan bahawa rentetan yang berlaku merupakan penerusan Perang Salib yang dilancarkan puak kuffar sebagaimana yang dikatakan oleh George W.Bush pada Disember 2001 bahawa, bermula pada hari itu peperangan salib ini akan dihidupkan kembali bahkan penggunaan istilah2 seperti ‘axis of the evil’, ‘infinity justice’ dan beberapa istilah lain yang diambil daripada Bible ( bible hasil pindaan mereka sendiri) mula dihidupkan kembali. Ini menyaksikan betapa keinginan mereka untuk melancarkan perang ke atas umat dan agama Islam!

Bukan sekadar itu, usaha mereka ini telah bermula sejak sekian lama. Kita (umat Islam) sebahagiannya sedar tentang serangan-serangan yang dilakukan puak kuffar tetapi tidak kita pedulikan. Antara proses peperangan salib ini ialah dengan memastikan berlakunya ‘ifsadul akhlaq’ di kalangan umat islam. Seterusnya ‘runtuhnya cara pemikiran’. Ia membawa kepada ‘hilangnya jatidiri’. dan seterusnya sampai kepada peringkat ‘RIDDAH’ iaitu MURTAD.

bersambung untuk saya mengulas dan memberikan pendapat…..

..bersama PEMBELA..

Di antara foto ketika Perhimpunan Umat, Forum Syariah & Isu Semasa bertempat di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur pada 23 Julai 2006 ( Ahad-semalam).
Kehadiran mendapat sambutan yang di luar dugaan sehingga melebihi ruang yang disediakan pihak penganjur. Ini membuktikan kesungguhan umat Islam untuk bersatu bagi memastikan Islam sebagai elemen penting di dalam Perlembagaan dan perundangan negara akan terus kukuh dan tidak dipertikaikan.

Lagi gambar

di sini

sensitiviti kita..


بسم الله الرحمن الرحيم

Sahabat-sahabat pembaca sekalian. Sedarkah kita tentang isu berkaitan Islam ketika ini? Pernahkah kita cuba mengambil tahu? Adakah kita hanya mengetahui tanpa membuat sebarang tindakan susulan?Seluruh mata dunia kini tertumpu pada kes Lina Joy yang begitu menghenyak dan mengasak perasaan umat Islam. Kebebasan hak asasi (dalam konteks ini ialah untuk beragama) kini diperjuangkan untuk diberikan kebebasan yang mutlak tanpa ada apa- apa sekatan. Kedudukan Islam kini tercabar, dan adakah kita hanya berdiam diri sahaja? Adakah kita masih menyumbat minda dan pemikiran kita dengan semangat cintakan hiburan duniawi semata? Adakah air mata kita untuk kisah-kisah artis dan ‘bakal artis’ sahaja?

Bukan menjadi rahsia lagi, implikasi terhadap kes Lina Joy ini akan meletakkan maruah Islam bakal menyusuri jalan ke kanan atau ke kiri. Kes yang kini meletakkan agama Islam, Institusi Islam bahkan corak masa depan generasi mendatang pada satu persimpangan. Dan tidak sepatutnya kita membiarkan sahaja ia menunggu saat diputuskan kedudukannya tanpa ada usaha dari kita.

Sahabat-sahabat pembaca sekalian.
Paling kurang apa yang boleh kita lakukan ialah memanjatkan doa kepada Allah agar kes Lina Joy ini akan memihak kepada kita, pencinta agama Allah yang tidak ingin melihat maruah Islam dipijak semahu-mahunya. Disamping berdoa, luangkanlah masa untuk menunaikan solat hajat demi keagungan agama Islam ini. Jika ini pun tidak mampu kita lakukan… apa lagi yang hendak diharapkan.. Apakah kita hanya sekadar mahu menjadi pemerhati yang tidak pernah cuba membela Islam!! Amat malang jika kita termasuk dikalangan mereka ini… kerana kita yang akan rugi.. rugi dunia dan akhirat.

Renungkanlah, fikirkanlah… Ayuh terus bertindak!!!!!!

..sampai bila harus begini?

Kecewa. Itulah perkataan yang dapat saya gambarkan. Kecewa pada penggiat-penggiat industri nasyid. Bukan sekali dua persoalan jati diri penasyid serta mesejnya di bicarakan. Di dalam majalah ilmiah acapkali disuarakan. Bukan sekadar daripada penulis di dalam majalah itu sendiri, bahkan di dalam surat pembaca dan juga pendapat juga turut disentuh hal ini. Di dalam komuniti, portal dan forum usah dikira. Terlalu banyak. Permintaannya cuma satu… ‘kembalikan jati diri nasyid’.

Sebagai di antara golongan yang cuba memartabatkan nasyid ini, hati saya cukup terluka. Kita menginginkan kebaikan daripada industri nasyid. Namun, keazaman kita dikekang dek kepentingan-kepentingan tertentu. Maka jadilah irama nasyid kita cuba mengikut ekor ‘hiburan popular’ yang intipatinya ‘kurang’ mapan untuk membina modal insan yang didambakan.

Mengapa nasyid perlu menjadi pengikut? Mengapa tidak cuba menjadi pemimpin? Memimpin ‘hiburan popular’ agar lebih mengutamakan tuntutan syariat. Membisikkan kata-kata rindu padaNya. Mengadu dan merayu pengampunan dariNya. Menghamparkan panduan dan pedoman di dalam membantu diri menuju redhaNya. Menyingkap lembaran kisah dan pengajaran dari erti sejarah. Menyuburkan nilai keIslaman dalam diri yang dilihat kini terlalu kering dan kontang. Lantaran siramannya bukan dari sumber yang selayaknya.

Persoalannya, adakah seruan kita ini mendapat reaksi positif dari penggiat-penggiat nasyid? Bibir memang mudah melafazkan ‘kehadiran kami untuk berdakwah kepada masyarakat’. Itu kita akui kerana jika dibandingkan dengan saya sendiri, saya hanya mampu mensumbangkan lagu untuk didengarkan. Maka jadilah saya sendiri menjadi pendengar setia. Jadi, bila mana sudah bergelar ‘artis nasyid’ maka paparkanlah imej Islam yang sebenarnya. Jangan kerana sedikit kesilapan dari ‘artis nasyid’ yang sedikit tersasar, maka nasyid menjadi tohmahan. Sebagai penggiat nasyid, ruang untuk bermuhasabah perlu dilebihkan. Jangan dibiarkan muncul suara-suara yang mempertikaikan kehadiran ‘penasyid’ yang dilihat sekadar ruang untuk mencari populariti.

Mengapa sekadar ‘membaca’ doa?

Sebentar tadi saya ‘bermukim’ sebentar di pusat sumber jabatan. Kebetulan letaknya betul-betul di hadapan bilik saya. Dalam sibuk-sibuk mencari rujukan, tiba-tiba saya terbaca sebuah artikel berkaitan dengan doa. Lantas mengingatkan kepada saya satu tajuk yang sedari dulu ingin saya bicarakan.Firman Allah S.W.T dalam surah Al-A’raf ayat 55 yang bermaksud “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas”.

Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin ia dimakbulkan. Sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati seorang yang leka dan lalai“. Hadith riwayat at-Tirmizi dan dinilai sebagai hadith hasan.

Cukuplah dua dalil ini untuk saya kemukakan kerana tujuan utama yang ingin saya bicarakan adalah berkenaan kaedah kita berdoa. Seringkali kita melihat orang membaca doa dengan begitu lancar sehingga apa yang kita dengar hanyalah bunyi di hujungnya. Tidak kurang juga yang berdoa dan dalam masa yang sama mata meliar ke sini sana. Apa yang dicari tidak pula diketahui.

Terfikir di hati, adakah doa yang keluar dari mulut itu difahami? Apakah benar kita sendiri tahu apa yang ingin kita pohonkan? Logiknya jika kita meminta sesuatu pastinya kita mengetahui apa yang kita minta. Kita tidak mahu doa yang keluar dari mulut kita sekadar hafalan semata-mata. Dan apa yang lebih tidak kita ingini ialah, tatkala kita mengungkapkan doa dan permintaan kita, langsung di situ tiada wujud suatu perasaan padanya. Doa seolah-olah tidak dianggap sesuatu yang penting. Tidak dianggap sebagai senjata kepada orang mukmin.

Buat akhirnya, marilah kita sama-sama membetulkan kaedah kita berdoa. Hindarilah berdoa tanpa keikhlasan. Buangkan sikap berdoa dengan sambil lewa dan tanpa perasaan. Berdoalah dengan penuh yakin dan harap agar permintaan kita dikabulkan. Jika tidak ditunaikan di sini, yakinlah Allah pasti akan tetap mebalasnya di sana.

..saat yang dinanti..

Impian yang sekian lama disimpan termakbul kini. Tatkala ada sahabat-sahabat yang ingin memegang status wargakota, saya menginginkan sebuah kehidupan di negeri sendiri. Berbakti pada masyarakat di sini. Yang lebih utama, berada berhampiran bonda yang amat dikasihi. Sejenak saya teringat pada impian dan pengorbanan bonda yang pasti tidak akan saya biarkan luput dari memori….

Bonda mengimpikan saya menjadi seorang hafiz tatkala saya di sekolah rendah. Namun impian bonda tidak dapat saya penuhi. Kesempatan saya di Sekolah Kiblah hanya sebentar cuma, lantas menjadikan impian saya tidak kesampaian. Kekesalan itu terkadang datang menyelubungi.

Seawal pendaftaran saya di SMKA TAHAP, guru-guru meminta saya untuk menjadi pelajar aliran sains tulen berdasarkan pencapaian PMR saya. Namun bonda mengharapkan saya menjurus ke bidang agama, walaupun bonda tidak menyatakan secara jelas. Waktu itu terfikir untuk meneruskan impian saya menjadi seorang jurutera, namun akhirnya saya memilih aliran agama di samping prinsip akaun sebagai matapelajaran tambahan.

2 tahun dalam aliran agama dan prinsip akaun membenihkan keinginan untuk menjadi akauntan dan memiliki firma sendiri. Segalanya seperti berada di hadapan mata bilamana mendapat tawaran mengikuti program matrikulasi perakauanan. Tawaran ini akhirnya saya tolak kerana keinginan untuk mendalami bidang agama lebih hebat, berserta dengan impian bonda….
Kegembiraan bonda tidak dapat diselindungkan.

Tawaran ke APIUM Nilam Puri hampir saja saya menolaknya. Bebanan kewangan amat terasa. Malah bonda menitiskan air mata kerana bimbang tidak mampu untuk membiayai. Ingin sahaja saya bekerja dan menangguhkan hasrat meneruskan pengajian. Tetapi, azam dan keinginan bonda untuk memastikan saya dapat menjejakkan kaki ke menara gading terlalu kuat. Akhirnya saya mampu untuk mendaftarkan diri dan memagang status mahasiswa.

Sering sahaja masalah kewangan menjadi penghalang. Surat konvokesyen yang saya terima, cuba saya sembunyikan dari bonda dan keluarga. Masih ada hutang tertunggak yang belum dijelaskan memungkinkan saya tidak menyertai majlis tersebut. Akhirnya bonda tahu juga ketibaan surat tersebut. Saya nyatakan majlis tersebut tidak mengapa jika tidak saya sertai. Apa yang lebih utama ialah sekeping ijazah yanga akan saya dapatkan dengan hasil simpanan wang sendiri biarpun memakan masa yang agak lama. Bonda enggan membenarkan saya untuk tidak menghadiri konvokesyen tersebut. Bagi bonda, majlis itu juga penting dan bonda terlalu ingin melihat saya di atas pentas. Bersusah payah bonda mendapatkan bantuan untuk menampung jumlah wang yang telah berjaya saya miliki. Terlalu tulus hati bonda….

Tawaran pekerjaan yang saya terima begitu menggembirakan hati bonda. Untuk kesekian kalinya, air mata bonda tidak berhenti untuk membasahi pipi. Air mata kegembiraan dan kesyukuran. Apatah lagi saya akan bekerja di negeri sendiri. Malah dijanjikan berkhidmat di daerah sendiri. Pastinya saya akan kerap berada di sisi bonda. Namun saat itu belum tiba lagi kerana saya perlu dihantar ke ibu negeri.

Jarak antara Kuantan dan Jengka bukanlah jauh. Tidak sukar untuk saya pulang ke Jengka di setiap hujung minggu. Hakikatnya, ia tidak dapat saya lakukan buat masa ini. Tuntutan untuk menyambung pengajian setiap hujung minggu tidak memungkinkan saya pulang menemui bonda….

Walaupun dekat, namun masih terasa jauh….