Bila terkenang…

Jam 10.32 mlm.
23 November 2006.
……………..

Terima panggilan daripada Ustaz Rosdi ( ustaz dan juga mentor saya di Sekolah Kiblah). Ust Rosdi meminta saya menjelaskan serba sedikit tentang undang-undang keluarga Islam di Malaysia. Katanya ada orang yang meminta bantuan dari dia.

Teringat kenangan di zaman persekolahan. Benarlah apa yang dikata. Kenangan persekolahan adalah kenangan yang manis. Dan saya lebih suka mengimbau kenangan di Sekolah Kiblah (1995-97) berbanding di SMKA TAHAP (1998-99).

Logo Sekolah KiblahSekolah Kiblah pada tahun 1995 beroperasi di Pedas, Negeri Sembilan. Dan bermula 1996 berpindah lokasi di Sungai Merab Jaya, Bandar Baru Bangi.

Kembali ke tahun 1995, tingkatan satu. Kisah yang membuatkan saya senyum sendiri.
………………..
Dorm A. Selepas PREP malam.
Atas katil Nazim
Komplot dirancang dan saya mengetuainya.

Setelah ‘menjemput’ kawan-kawan yang menghadiri ‘jamuan’ menikmati juadah di atas katil Nazim, saya memulakan bicara.

Makanan yang disediakan ialah Biskut Chipsmore pemberian Ust Jaafar kepada saya. Nasib biskut itu telah tercatat menjadi santapan ‘para hadirin’. Majlis dihadiri oleh saya, Zainul (Jenol), Shukri, Anip, Khairi dan bebapa orang lagi. Kepada yang tidak dapat hadir saya minta disampaikan sekali lagi resolusi perbincangan pada waktu petang yang telah dibuat. Malam ini hanya untuk pengisytiharan sahaja. Salah seorang yang tidak hadir ialah Syahar dan saya pasti dia sedang mencari makanan untuk mengisi perutnya yang sentiasa lapar. Faridzman juga tidak hadir. Tidak tahu ke mana merayau. Yang lain biar disampaikan dari mulut ke mulut.

“Nazim, kitorang dah berbincang petang tadi dan keputusannya, mulai esok kitorang akan pulaukan engko selama 2 hari. Sebabnya engko report pada Ust Jaafar yang kitorang buli engko”. Saya pandang ke wajah Nazim. Dia hanya diam.

“Ini sebagai pengajaran supaya lain kali jangan report yang bukan-bukan. Sebab ini dah kira fitnah”, sambung saya. Kawan-kawan yang lain hanya tersenyum-senyum. Terkulat-kulat.

Saya buli orang? Tidak, jangan percaya cerita itu. Sebenarnya ia hanya gurauan sesama tingkatan. Entah macam mana itu boleh dikatakan BULI.

Esoknya.
Selepas Subuh. Di dalam kelas tahfiz.

Saya dan konco-konco menjarakkan diri dari duduk berhampiran dengan Nazim. Saya memilih di penjuru kelas. Senang untuk bersandar dan tersorok dari pandangan Musyrif saya, Ust Masrohan Kiyai Choteb. Syahar tersandar di dinding sebelah kiri saya. Tersengguk-sengguk.

Syahar, ko memang suka tidur! Malam tadi dah la tak datang jamuan biskut chipsmore!!

Jenol dan Shukri duduk sekali dengan saya. Sesekali bersembang. Dan setiap kali juga renungan mata Ust Masrohan ke arah kami. Nazim duduk bersendirian. Tersengguk-sengguk seperti Syahar.

7.15 pagi.
Selesai kelas tahfiz. Bersama rakan-rakan seangkatan menuju ke dewan makan. Syahar awal-awal sudah hilang. Merebut untuk mendapat tempat pertama tiba di dewan makan. Nazim keseorangan.

Sebelum ke sekolah, saya menunggu Jenol bersiap di pintu dorm. Kelihatan Nazim sudah bertolak ke sekolah dengan Ust Amin.

Asrama Sekolah Kiblah berada di atas bukit. Sekolah pula di bawah bukit. Paling seksa ketika waktu balik dari sekolah. Melalui ladang kelapa sawit dan ladang getah. Melintasi pokok besar berhantu dan pokok seorang India menggantung diri, seterusnya mendaki bukit untuk sampai ke asrama. Perjalanan hampir 1 km kalau tidak silap.

Di sekolah saya sesekali menyibuk ke kelas Nazim untuk melihat perkembangan pakatan. Nazim hanya berbual-bual dengan mereka yang tidak menyertai kami dalam komplot ini.

Kelas petang, saya ditempatkan satu kumpulan dengan Nazim untuk subjek bahasa inggeris. Perbincangan acuh tak acuh kerana Nazim menyedari dia masih dalam proses pemulauan.

..
Sebelum tiba waktu maghrib, saya menuju ke surau. Selepas meletakkan selipar ke dalam pasu di tepi rumah warden, sebagai langkah keselamatan daripada ‘disarung’ oleh bukan tuannya, dengan langkah bergaya saya masuk ke surau. Kelihatan rakan-rakan berkumpul di tepi surau bersebelahan dengan hutan belukar. Lantas terus ke sana.

“Hisham, Ust Jaafar dah tau kita pulaukan Nazim” lapor Anip.

“Hah! Mana Ust Jaafar tau?” tanya saya. Terkejut.

“Nazim bagitau. Petang tadi aku nampak dia bercakap dengan Ust Jaafar. Dia kata kat aku Ust Jaafar nak panggil kita malam ni”, Shukri menjelaskan.

“Malam ni kita semua kena panggil kat bilik warden” tambah Shukri.

WHAT!!! Ingatkan satu je berita buruk. Rupanya berkembar. Tak kisah la seiras ataupun tak. Yang penting ini memang berita buruk!!

“Hisham, aku tak pulaukan Nazim pun. Aku tak nak terlibat”, kata Khairi tiba-tiba dengan wajah yang pucat.

“Anip, kat sekolah tadi kita berkawan dengan Nazim kan?” Khairi meminta sokongan padu dari Anip.

“Ok. Korang boleh kata macam tu malam ni! Biar saya sorang je tanggung!!” Balas saya. Berang. Tanpa perlu menunggu lebih lama saya masuk ke dalam surau. Di luar rakan-rakan masih berbincang.
………

Selesai PREP malam.
Masa untuk berkeliaran.

“Hisham, Ust Jaafar panggil ko and the gang yang pulaukan Nazim”. Tiba tiba muncul seorang pelajar setingkatan membawa berita yang memang tidak seronok. Tapi itu juga berita yang saya tunggu sejak PREP bermula.

‘Masanya sudah tiba! Biarkan budak-budak lain. Diorang kata diorang tak nak terlibat. Aku sorang je pergi pun cukup.’ Kata saya sendirian.

Sesampai di bilik warden, rupa-rupanya rakan-rakan ‘sekomplot’ sudah ada di dalam. Saya tidak pasti samada mereka sudah menjelaskan pendirian mereka ataupun tidak.

Di luar, ‘masyarakat’ Sekolah Kiblah terjengok-jengok mengintai di pintu dan tingkap bilik warden. Ghairah untuk melihat upacara yang pastinya menarik. Malah kedengaran suara-suara yang berkata ‘Bakal Ahli Majlis Pelajar akan kena denda malam ni’. Memang saya disebut-sebut sebagai calon paling berkelayakan untuk dipilih sebagai Ahli Majlis Pelajar (AMP).

Sebelum Ust Jaafar memulakan ceramahnya, saya dengan keberanian yang tidak pasti berapa darjah, cuba menjelaskan kedudukan sebenar. Cuba mempertahan rakan-rakan saya yang ‘tidak bersalah’. Dan saya sedia menanggung berseorangan.

Permintaan saya tidak dipedulikan. Rakan-rakan saya tetap dirotan dan saya lihat tanda tidak puas hati pada wajah Khairi. Saya selaku perancang utama diberikan hadiah yang lebih berbanding yang lain.

Turut berada di dalam bilik warden adalah ustaz-ustaz lain dan ust Rosdi turut berada di situ.

Selepas ‘majlis’ hukuman, kami keluar dari bilik. Syahar sempat berkata, “hilang selera aku nak makan 2 biji burger yang baru aku beli tadi”. Walaupun terasa lawak, tapi saya tidak mampu tersenyum.

Insan-insan yang terdiri dari timgkatan 1, 2 dan 3 yang dahagakan maklumat tentang apa yang berlaku mula mengerumuni. Malas melayan kehendak mereka, saya terus menuju ke bilik, Dorm A.

Untuk makluman, generasi saya adalah generasi ke-3 di Sekolah Kiblah
………

Sedang saya berehat di atas katil, muncul seorang ‘wartawan’ tingkatan 2. ( Lupa saya namanya kerana peristiwa ini berlaku 11 tahun yang lepas)

“Hisham, Ust Rosdi panggil”, ujarnya dan terus berlalu.

Hah! Apa lagi ni! Nak kena rotan lagi ke?

Suasana sudah mula menyepi ketika itu. Pelajar-pelajar sudah mula berada di dorm masing -masing. Dorm A, B, C dan D. Dorm C masih lagi kedengaran suara-suara. Mungkin Herman belum habis bercerita tentang cerita hantu lagi.

Sampai di bilik warden, terus mengadap Ust Rosdi. Duduk di hadapannya. Rotan sudah tersedia di tangannya.

Hah! Tu rotan yang Ust Jaafar guna tadi!! Rotan tu rindu kat aku lagi ke?!

Sambil duduk jari saya bermain-main dengan ibu jari kaki. Tunduk. Tidak berani memandang Ust Rosdi.

“Sham, mana tangan yang kena rotan tadi?” tanya Ust Rosdi.

Saya hulurkan tangan saya. Tapak tangan menghala ke atas. Merah.

“Sakit?”
Senyap. Cuma menganggukkan kepala.

“Lain kali nak buat lagi?”
Masih lagi senyap. Angguk tidak. Geleng pun tidak.

“Syam, ambil ni”, kata ust Rosdi sambil menghulurkan semangkuk rojak mee.

“Makanlah”.

Perlahan-lahan saya menyuapkan rojak mee ke dalam mulut. Teringat pada 2 biji burger milik Syahar. Tidak tahu apa nasib burger-burger tersebut. Selamat ke dalam perut Syahar ataupun ke perut orang lain. Mungkin juga ke dalam perut tong sampah.

Sambil saya menikmati santapan sebelum tidur, Ust Rosdi memberikan nasihat dan teguran. Saya hanya diam.

Selepas selesai makan, saya minta izin untuk kembali ke dorm. Sebelum keluar, Ust Rosdi menghulurkan dua bungkus biskut.

“Terima kasih ustaz”, kata saya dan terus menuju ke dorm dalam kepekatan malam.

……………………

3 tahun di Sekolah Kiblah. Pelbagai cerita suka dan duka. Tragedi bukit belakang sekolah, ‘Cameron konon’, dan banyak lagi. Zaman keindahan bersama rakan-rakan.

Dan sepanjang di Kiblah juga saya begitu rapat dengan ustaz-ustaz. Malah pernah diberikan kepercayaan oleh Ust Amin ketika tingkatan 3 untuk membantu membuat penilaian akhlak para pelajar bagi dimasukkan dalam rekod penilaian KKSK (Kurikulum Khas Sekolah Kiblah). Saya kembalikan amanah tersebut kerana bimbang akan timbul lagi suara-suara tidak puas hati di belakang. Malah telah ada tindakan berani seorang pelajar tingkatan 5, sewaktu saya di tingkatan 3 tentang ketidakpuasan hatinya ketika satu program motivasi dijalankan. Setiap mata merenung saya. Kawan-kawan rapat cuba menenangkan saya.

Mungkin ini juga punca mengapa selepas saya berpindah sekolah saya mengambil sikap menjauhkan diri dari tenaga pengajar. Tidak ada perbualan santai. Berubah tingkah laku. Tidak suka menonjolkan diri.
…………………

Setelah meninggalkan zaman persekolahan di Kiblah, saya sekali-kali tidak melupakan ustaz-ustaz dan rakan-rakan.
Terima kasih semua. Walau di posisi mana saya berada, saya akan cuba tidak menyombong diri. Menghayati segala tunjuk ajar dan kenangan yang dilalui bersama.

I don’t want this relationship over. When we’re not together, the memories begin…….

Advertisements

Dalam gembira, mendung pula memayungi..

logo Sungguh saya terkejut. Terkejut dengan apa yang terjadi. Baru semalam saya mengimbau kenangan Persilatan di Akademi Pengajiam Islam UM Nilam Puri. Kenangan yang membangkitkan semangat pendekar. Menjadikan saya rindu pada setiap gerak langkah mengatur buah silat. Rindu pada setiap tumbukan, tepisan dan kilasan dalam setiap gerak tindak. Juga rindu pada sahabat-sahabat seperguruan sepersilatan. Tidak lupa pada tenaga pengajar, Abg Mat dan Abg Lee. Terlalu rindu saat-saat itu.

Silat Cekak Ustaz Hanafi. Nama yang tidak asing bagi saya kerana sayalah di antara ahli-ahlinya. Saya juga terlibat dalam mencatatkan rekod di dalam Malaysia Book Of Records pada tahun 2001. Muncul sebagai persembahan paling ramai secara serentak di seluruh Malaysia. Saya juga menggalas tugas sebagai Bendahari Persatuan Silat Cekak Ustaz Hanafi, APIUM NP (melalui perlantikan). Dalam masa yang sama bertindak sebagai setiausaha (tanpa lantikan), juga sebagai NYDP Persatuan (juga tanpa lantikan), kerana sahabat yang berada di posisi tersebut mempunyai komitmen lain yang lebih besar. Tidak lupa juga, saya turut bertindak sebagai ‘tukang buat air’ untuk setiap sesi latihan.

Bermula dengan kaedah, kemudian berpindah kepada buah asas, seterusnya buah jatuh, disusuli pula dengan buah potong. Akhirnya diberikan ‘buah rahsia’. Dalam meniti perpindahan fasa ini, ada juga sahabat-sahabat yang tewas kerana ‘tidak sabar’. Meninggalkan gelanggang persilatan. Saya sedih. Sahabat-sahabat lain juga sedih. Apatah lagi tenaga pengajar kami. Mereka juga sedih.

Teringat ketika sesi perbincangan selepas setiap sesi latihan. Kami berkumpul mendengar nasihat dari Abg Mat dan Abg Lee. Antara yang masih segar dalam ingatan saya ialah perumpamaan yang diberikan oleh Abg Mat.

Dalam hidup kita, juga dalam persilatan ini, anggaplah seolah-olah kita bermula dari menanam biji durian hingga ke detik kita memasukkan ulas buah durian itu ke dalam mulut kita.

Bayangkan jika suatu hari, seseorang berkata kepada kita dengan mengatakan bahawa ‘Rasa buah durian ialah manis dan berlemak’. Kita hanya mendengarnya kerana tidak pernah mencubanya. Kita cuba membayangkan bagaimana rasanya. Namun bayangan kita tidak akan sama dengan realitinya. Kemudian buat pertama kalinya kita merasai buah durian, dan barulah kita tahu bagaimana rasanya. Namun perasaan itu hanyalah sekadar puas kerana dapat menikmati rasa durian.

Sebaliknya, apabila kita bermula dengan menanam biji durian. Kita semai ia. Kita jaga sebaiknya. Bersusah payah kita berusaha. Tidak membenarkan pokok durian yang baru belajar untuk membesar dimusnahkan oleh binatang, juga manusia. Berbagai cara kita lakukan untuk memastikan ia akan membesar dengan sebaiknya. Begitulah proses yang kita lakukan seterusnya. Dan bila mana ia membuahkan hasil, kita masih perlu menjaganya. Semua itu memerlukan ketabahan dan keazaman. Apa yang kita lalui itu juga adalah cabaran dan rintangan. Tatkala mana kita ingin merasai hasilnya, masih juga kita perlu bersusah payah agar tidak terluka oleh durinya. Begitu susahnya aturan yang bermula dari menanam hinggalah untuk mendapatkan isinya. Di saat ulas durian itu hendak dimasukkan ke dalam mulut, ia bukan lagi pasti milik kita, kerana mungkin ia terlepas dari pegangan tangan kita. Yang dimasukkan ke dalam mulut kita itulah milik kita. Kita akan puas menikmati rasanya. Kita akan puas kerana apa yang kita rasai itu adalah hasil daripada titik peluh kita. Bermula dari saat menanam biji benih hinggalah ia berjaya di masukkan ke dalam perut kita.

Perjalanan kita di dalam memperlajari ilmu persilatan ini juga sama. Sebagai penuntut universiti juga sama. Begitu juga di mana kita berada. Kejayaan yang kita kecapi akan lebih manis setelah kita bersusah payah mengharungi cabarannya. Kejayaan percuma tidak sama dengan kejayaan setelah mengharungi penat lelah.

Mengimbau kembali kenangan di gelanggang silat adalah terlalu asyik. Kaki ini seakan-akan tidak sabar ‘mencuri langkah’. Tangan ini akan sentiasa bersedia menerima setiap asakan. Falsafah Silat Cekak Ustaz Hanafi sentiasa tersemat. PAKAI, TAK PAKAI; TAK PAKAI, PAKAI.

Saya sedih kerana setelah tamat perguruan saya di dalam Silat Cekak Ustaz Hanafi, saya tidak lagi berkesempatan bergiat cergas. Saya semakin kurang membuat latihan memperkemas setiap buah-buah silat. Mungkin saya sudah tidak setangkas dulu.

Pagi ini saya bertambah sedih. Setelah lama ‘terpisah’ dengan dunia persilatan, saya cuba untuk meniti kembali jambatan hubungan antara saya dan Silat Cekak Ustaz Hanafi. Tidak pernah saya duga pergolakan yang berlaku sekarang di PSSCUH. Betul saya terkejut.

Sebak saya untuk menerangkan. Cuma saya berdoa agar mendung di Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi akan segera berakhir. Saya menantikan kebenarannya.

Klik untuk mengetahui MENDUNG yang memayungi PSSCUH

Saya sediakan link di atas untuk bacaan pembaca. Ada kisah yang menjadikan saya duka nestapa.

Rahsia di antara rahsia-rahsia

Pusat Sumber Jabatan.
Dalam masa yang sama adalah pejabat sementara.
Pejabat asal dalam proses ubahsuai.
……………………

Pusat sumber yang menjadi pejabat sementara.. Tekun mengadap kitab Mughni Muhtaj. Cuba memahami bait-bait ayat yang tertera. Sesekali dahi saya berkerut cuba memahami maksud yang ingin disampaikan. Tidak lama kemudian datang Dato’ Abdul Rahman. Dato’ duduk di kerusi bertentangan dengan saya. Kami berbual bual sebentar. Seperti biasa, saya akan ditanya perkembangan terkini dari segi pembelajaran dan tugasan.

Sambung semula membaca. Dato’ saya lihat mula membelek-belek catatan autoriti yang dimilikinya. Berkali-kali Dato’ mengingatkan saya agar menyediakan catatan autoriti untuk saya sendiri bagi memudahkan tugasan saya. Dan, catatan autoriti itu sedang saya usahakan.

“Hisham, enta perasan tak antara rahsia dalam Surah Al-Fatihah?” Tiba-tiba Dato’ mengajukan soalan pada saya.

Mengenali Dato’ sepanjang tempoh saya bekerja tidaklah sukar untuk diagak apa respon yang perlu saya berikan. Soalan tersebut bukan memerlukan jawapan daripada saya. Dato’ ingin menjelaskan sesuatu kepada saya sebenarnya.

Saya dongakkan kepala, perlahan saya tutup kitab Mughni Muhtaj. Saya bersedia menerima ilmu dari Dato’.

“Empat ayat pertama dari Surah Al-Fatihah berbeza dengan ayat seterusnya” ujar Dato’.

“Dalam ayat-ayat ni, digambarkan kita ‘jauh’ daripada Allah. Pada ayat pertama kita akan menyebut ‘Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.’ Seterusnya kita memuji Allah dengan mengatakan ‘Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam’.’Dialah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih’.’Dia menguasai hari pembalasan iaitu hari kiamat’. Maknanya kita hanya menyebut tentang Allah”, jelas Dato’ lagi.

Saya hanya menganggukkan kepala. Bersetuju. Ghairah untuk mendengar apa yang akan dijelaskan lagi oleh Dato’.

“Seterusnya bila sampai ayat kelima, kita terus mengatakan ‘Kepada Engkaulah kami sembah dan kepada Engkaulah kami memohon pertolongan’. Daripada menggunakan lafaz ‘ghaibah’ terus bertukar kepada ‘khitob’.”

Saya seakan dapat menangkap apa maksud yang ingin Dato’ terangkan.

Untuk makluman, ‘ghaibah’ ialah kata ganti diri ketiga seperti, ‘dia dan mereka’. Manakala ‘khitob’ adalah kata ganti diri kedua seperti ‘engkau, awak, kamu’. Dan kata ganti diri pertama adalah ‘saya, aku, kami’ atau dalam bahasa arab ‘mutakallim’

“Apabila kita memuji tentang Allah, digambarkan Allah semakin hampir dengan kita, dan kita juga semakin hampir dengan Allah. Dan bila terlalu hampir, kita pun terus meminta daripada Allah. Kita tidak meminta kepada Allah dengan adanya perantaraan. Kita meminta kepada Allah seolah-olah Allah ada di hadapan kita”.

“Bila saya baca Al-Quran, saya kadang-kadang tersenyum. Sebab uniknya ayat-ayat dalam Al-Quran. Dan ulama’ dahulu begitu cerdik dalam mentafsirkan ayat-ayat yang terkandung disebabkan tingginya ilmu disamping memahami bahasa arab dengan sebaiknya”. Dato’ mengakhiri kata-katanya setelah menyedari Ustaz Din sudah muncul di muka pintu, sebagai isyarat sidang seterusnya akan bermula.

Saya termenung seketika. Memang terlalu banyak rahsia di dalam Al-Quran. Dan begitu banyaknya sumbangan para ulama’ dalam menjelaskan dan mentafsirkan apa yang terkandung di dalamnya. Antara yang telah Dato’ terangkan ialah tentang tafsiran ayat kedua di dalam Surah Al-Baqarah, iaitu yang berbunyi ‘Inilah Kitab yang tiada keraguan padanya’. Mengapa diterjemahkan sebagai ‘inilah’ dan bukan ‘itu’ kerana perkataan arabnya ialah ‘dzalika’ yang bermaksud ‘itu’?.

Juga tentang ayat 176, Surah An-Nisak, iaitu yang bermaksud ‘Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat’. Sedangkan jika dibaca ayat tersebut, ia sepatutnya diterjemahkan sebegini, ‘Allah menerangkan kepada kamu supaya kamu sesat’.

Bahagian yang menjelaskan tentang perpindahan dari 'ghaibah' kepada 'khitob'. Setiap kali Dato’ memperihalkan tentang ayat-ayat Al-Quran, saya sudah tahu di mana boleh saya dapatkan rujukan seterusnya. Kitab Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran atau dengan nama lain, Tafsir Al- Qurtubi akan saya buka dan teliti huraiannya walaupun dengan keterbatasan dalam penguasaan bahasa arab.

Lautan ilmu ini tidak akan pernah habis untuk ditimba. Seseungguhnya ilmu yang ada pada manusia hanyalah secebis cuma. Dan saya menginsafi betapa kurangnya penguasaan ilmu saya.

Di celah-celah kehidupan..

Sabtu, 18 November 2006
UIAM
…………
Akhirnya sah sudah tarikh peperiksaan ditunda. Jadual asalnya ditetapkan pada 2, 3, 9 dan 10 Disember 2006. Setelah ditunda maka, tanpa dapat dihalang lagi peperiksaan akan berjalan pada 16, 17, 23 dan 24 Disember 2006. Terlihat tanda-tanda kekecewaan pada sebahagian wajah-wajah rakan sekuliah.

Saya pun kecewa… Dengan tertundanya tarikh periksa, maka ini bermakna kos ulang-alik perjalanan saya dari Kuantan ke Kuala Lumpur akan bertambah!! Dan beberapa rancangan saya terpaksa dibatalkan… Argh!!!!

Sebelum pulang ke Desa Tasik Selatan, saya transit di Kl Sentral selepas menaiki Putra Line dari Terminal Putra. Tujuannya untuk pergi ke Mid Valley dengan menaiki KTM Komuter. Saya lihat jumlah wang yang saya bawa.
“Eh, tak cukup ni. Nak beli tiket balik Kuantan esok pun tak lepas”.
Bergegas saya menuju ke mesin ATM Bank Islam sambil mengelakkan daripada berlanggar dengan umat manusia yang begitu seronok berada dalam kesesakan manusia.
“Dua, empat, enam, tujuh orang sedang beratur. Takpelah, bukan ramai sangat pun”.
Beratur dengan sabar.
Apasal orang depan tu tak bergerak-gerak lagi ni? Ko ingat mesin tu mesin game ke? Apa yang seronok sangat main picit-picit kat mesin ATM tu!!

Saya pandang pada papan masa perjalanan Komuter. (Layak ke panggil papan?? Tak tau nak istilahkan apa…) Lagi 4 minit komuter di platform 6 yang menuju ke Seremban akan sampai. Saya batalkan niat nak terus beratur.
Ko main la dengan mesin ATM tu sampai tahun depan! Sebulan lebih je lagi nak sampai tahun depan!!

4.06 petang
Sempat naik Komuter. Sampai di stesen Mid Valley, terus beli tiket untuk ke Bandar Tasik Selatan. Tak sanggup nak tunggu beli masa keluar dari Mid Valley nanti. Berdasarkan pengalaman, selalunya selepas jam 6 petang hari cuti, acara beratur membuat barisan yang panjang untuk membeli tiket akan berjalan seperti biasa. Saya berhajat untuk tarik diri dari menyertai acara tersebut petang ini.

Lokasi pertama yang saya tuju seperti biasa, kiosk di pintu masuk untuk melihat apa majalah yang ada. Tak menarik. Terus menuju ke Jaya Jusco. Saya dah tetapkan apa yang nak dicari. Berlegar-legar di bahagian pakaian lelaki. Akhirnya, seperti yang dijangka, saya tidak membeli. Apa yang saya cari tidak menepati syarat-syarat yang saya tetapkan.
Syam, ko selalu macam ni. Dah tau dah perangai ko. Bukan setakat nak beli baju pun ada syarat, nak beli pen untuk tulis dalam catatan harian pun ada syarat! Nak juga guna pen jeli, pen lain tak dibenarkan!!! Pelik betul..

Destinasi kedua selepas tidak berjaya mendapatkan kemeja ialah MPH. Selalunya masa akan banyak habis di situ. Perasaan saya bercampur baur. Ghairah melihat buku-buku baru. Teringin untuk membeli. Tapi, saya akur dengan kemampuan diri.

“Eh, duit nak beli tiket esok tak keluarkan lagi”. Segera mencari mesin ATM mana-mana yang boleh.
“Ha, kalau tak silap kat penjuru sana ada ATM Maybank dengan RHB Bank.”
Tiada orang di mesin ATM maybank. Selepas menekan-nekan butang yang ada, maka ‘bocorlah rahsia’ yang butang untuk ‘YA’ tak berfungsi.
Dah tau rosak, letak la tanda. Setakat nak jadikan perhiasan kat sini, baik tak payah!! Buat menyemak je

Beralih ke Mesin ATM RHB bank. Alhamdulillah. Tiada masalah.

Jam 6.00 petang.
Masa untuk meneruskan perjalanan. Sebelum keluar, singgah sekali lagi di kiosk pintu masuk. Saya tahan keinginan untuk membeli. Menuju ke stesen yang setia menanti.
Acara beratur dah bermula. Hahaha..minta maaf ye sebab tak dapat menyertai kali ni

Orang masih tidak ramai menunggu komuter yang menuju ke Seremban. Tengok pada ‘papan masa’. Komuter akan sampai 6.14 petang. Tak lama lagi.

Ding dong.”Harap maaf. Tren ke Seremban pada jam 6.14 petang telah ditunda kepada jam 6.32 petang”.
Woi, tren pun nak main tunda-tunda juga ke?!! Berpakat dengan UIAM ke?!! Makin ramai la nampaknya orang yang bersiap sedia nak naik tren lepas ni. 2 trip dah jadi satu trip. Jangan ditunda lagi sudah.

6.33 petang tren muncul. Kelihatan umat manusia memenuhi tren yang baru sampai. Dipendekkan cerita, saya gagal menaiki tren tersebut. Diulangi lagi sekali, GAGAL!!! Saya GAGAL!!

Ding dong. “Tren seterusnya akan tiba pada jam 6.44 petang”
DIAMLAH!!!!

6.48 petang. Berjaya menaiki tren dengan sedikit susah payah membuat analisa di bahagian mana yang sesuai untuk dijadikan tempat ‘menunggu’.

7.15 petang. Tiba di Desa Tasik Selatan. Pagi esok saya akan meneruskan perjalanan menuju ke Kuantan pula. Inilah jadual saya pada setiap minggu.
…………………………..

Berkongsi ilmu..

Malam tadi dalam jam 9, ‘berurusan’ dengan sahabat yang sedang belajar di mesir (di sana lebih kurang pukul 4 petang).Saya sebenarnya dalam proses untuk mendapatkan bahan bacaan dari sana. Dan banyak juga buku yang dia cadangkan. Pagi ini ketika menjelajah ke web Syeikh Dr Yusuf Al-Qardawi, saya tertarik dengan salah sebuah buku nukilan beliau. Saya sertakan preview di bawah (muqaddimah).




بسم الله الرحمن الرحيم
مقدمة

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على محمد خاتم النبيين، وعلى سائر إخوانه من الأنبياء والمرسلين، وعلى آلهم وأصحابهم أجمعين، ومن اتبعهم بإحسان إلى يوم الدين.

أما بعد

فهذه مجموعة من الحوارات بيننا وبين الغرب، ظهرت في صورة أسئلة محرجة، أو شائكة، رددت عليها بأجوبة بيّنة، بل حاسمة، سميناها: (نحن والغرب)، ولا بد لنا أن نحدد: من نحن؟ أو: ما نحن؟ ومن الغرب؟ أو: ما الغرب الذي يحاورنا ونحاوره؟

و(الغرب) في اللغة هو: الجهة التي تغرب فيها الشمس، والبلاد الواقفة فيها، مقابل (الشرق) وهو الجهة التي تشرق منها الشمس، والبلاد الواقعة فيها، وقد يعبر عنهما بـ(المشرق) و(المغرب), وفي القرآن: رَبِّ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ فَاتَّخِذْهُ وَكِيلاً [المزمل:9].

والغرب والشرق أمر نسبي، فكل بلد وكل مكان له غربه وشرقه. ووطننا العربي مقسم إلي : شرق وغرب ، وقد اصطلح علي أن الغرب يبدأ من ليبيا إلي موريتانيا مروراً بتونس والجزائر والمغرب الأقصى، وحين قسم الناس الكرة الأرضية إلى شرق وغرب، اضطروا أن يقسموا الشرق إلى أقسام بحسب موقعه، فهناك شرق أقصى، وهناك شرق أوسط، وهناك شرق أدنى.

وقد اصطلح الناس على أن الغرب هو أوربة وأمريكا، أما آسيا وأفريقيا فهما شرق، وإن كان من أهل أفريقيا من يريد أن يلحق نفسه بالغرب، كما ذكر د.طه حسين، في كتابه (مستقبل الثقافية): أن مصر إلى اليونان وإيطاليا وفرنسا أقرب منها إلى الهند والصين واليابان. وكما ينادي بذلك كثيرون في شمال أفريقيا من دعاة الفرانكفونية ومن دار في فلكهم.

هذا إذا نظرنا إلى الشرق والغرب من الناحية الجغرافية، ولكن الأهم والأخطر من ذلك هو الشرق والغرب من الناحية الثقافية والحضارية، وهي الناحية التي لأجلها حدث الصراع، ووقعت الحروب طوال التاريخ، وإن كان أغلب ما دارت رحى الصراع بين الغرب وبين الشرق الأوسط (الكبير) كما يسمونه اليوم.

كانت قيادة عجلة الحضارة لقرون طويلة في يد الشرق، حين ظهور الحضارات الشرقية القديمة العريقة: الفينيقية والفرعونية والآشورية البابلية والفارسية والهندية والصينية.. وكان الشرق هو مصدر المعرفة والمدنية والصناعة والرقي.

ثم انتقلت العجلة إلى الغرب لعدة قرون، حين ظهرت فلسفة اليونان، ومدينة الرومان، وبرزت الدولة الرومانية، وغزت أقطارا كثيرة من الشرق، وتركت أثارها في بلاد شتى.

ثم عادت عجلة القيادة الحضارية إلى الشرق مرة أخرى على يد الحضارة العربية الإسلامية، التي قادت الدنيا بزمام الدين، وأقامت مدنية العلم والإيمان، وأنشأت حضارة ربانية إنسانية أخلاقية عالمية، ظل العالم يتعلم منها، ويأخذ عنها حوالي ثمانية قرون، وقد ظهر لها فرع في الغرب في الأندلس أضاء نوره في أوربا، واقتبس منه الكثيرون من أبنائها.

ونام المسلمون، واستيقظ الغربيون، وتخلفوا وتقدم غيرهم، وكان لا بد لمن جد أن يجد، ولمن زرع أن يحصد، وأن يقبض الغرب على زمام الحضارة، ويهيمن على العالم، بخبرته العلمية، وبقدرته الاقتصادية، وبقوته العسكرية، وبقينا نحن معدودين في (العالم الثالث) أو في (البلاد النامية) أو في بلاد (الجنوب) العاجز المتخلف الفقير.

ومنذ ظهر الإسلام قدر له أن يصطدم بالغرب الذي كان يمثله هرقل إمبراطور الدولة الرومانية (البيزنطية) والذي أرسل إليه الرسول الكريم رسالة يدعوه فيها إلى الإسلام، وختمها بالآية الكريمة: قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلاَّ نَعْبُدَ إِلاَّ اللهَ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللهِ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ [آل عمران: 64].

ولم يستجب هرقل للدعوة، رغم إيمانه في قرارة نفسه بأحقيتها وصدق صاحبها، وصمم على المواجهة،

Bacaan seterusnya


و رأيت أن أجمع ذلك كله بعضه إلى بعض لأقدمه للقارئ الكريم ، ليعرف عن بينة: موقفنا من الغرب و موقف الغرب منا ، على ضوء هُدَى القرآن ، وهَدْي السنة ، وتوجهات هذا الدين العظيم ، لِّيَهْلِكَ مَنْ هَلَكَ عَن بَيِّنَةٍ وَيَحْيَى مَنْ حَيَّ عَن بَيِّنَةٍ. ومَا تَوْفِيقِي إِلاَّ بِاللهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ .

الدوحة في:

15 جمادى الأولى 1426هـ = 2/6/2005م

الفقير إلى عفو ربه
يوسف القرضاوي

Ranjau Sepanjang Jalan

Ranjau Sepanjang JalanSaya baru selesai membaca novel Ranjau Sepanjang Jalan ini. Menyingkap kehidupan keluarga pesawah padi. Walau apa jua halangan, hidup tidak seharusnya dibiarkan berlalu begitu sahaja. Perlu ada usaha untuk mengharunginya.

Saya jadi rindu pada kehijauan sawah padi. Kehidupan berlatarbelakangkan kelapa sawit tidak sama dengan sawah padi. Sedari kecil saya dikelilingi kelapa sawit. Hanya ketika pulang ke ‘kampung’ di Parit 7, Sabak Bernam dapat saya rasai pemandangan sawah padi. Di kampung, yang tinggal hanyalah sepupu saya. Dan saya juga jarang berpeluang ke sana.

Rentetan daripada permasalahan yang digambarkan dalam novel ini, saya jadi geram pada fenomena sekarang. Geram kerana nasib golongan tidak berkemampuan tidak dibela sepenuhnya. Kebajikan rakyat perlu diutamakan!! Jangan dibebankan dengan kenaikan harga minyak, barang, perkhidmatan!!! Sikap memilih prioriti mesti ada. Apa perlunya dibuat program yang hanya membazirkan wang rakyat sedangkan rakyat tidak langsung merasai ‘manfaat’nya?

Mengenangkan nasib golongan bawahan yang tersepit di celah-celah asakan dalam mengharungi setiap detik yang berlalu, seharusnya menginsafkan kita. Menjadikan kita lebih pemurah menghulurkan bantuan. Kerana merekalah orang yang selayaknya. ‘Bantuan’ tidak sepatutnya diberikan hanya sekadar untuk menyanjung artis pujaan!!

Preview novel

Bayangan di sebalik kabus..

1985/1986
Hari Pertama Sesi Persekolahan
Sekolah Rendah Kebangsaan Jengka Sebelas
…………

Bangman akan mula memasuki darjah satu hari ini. Seperti kebanyakan penduduk Felda Jengka Sebelas, pendaftaran anak-anak akan dihantar oleh ibu bapa. Ayah akan mendaftarkan anaknya yang ke-6 pada hari ini. Saya yang berusia hampir 4 tahun turut dibawa bersama ayah.

Di luar bilik darjah saya lihat ibu bapa berbual-bual dan anak-anak yang baru didaftarkan mula memasuki ke dalam bilik darjah. Saya melihat dengan mata berbinar. Setiap raut wajah saya pandang. Perlahan saya bergerak dari pintu kelas menuju ke meja tulis berhampiran. Perlahan saya sentuh meja itu. Senyuman terukir di bibir. Hati saya berkata.”Bila agaknya saya akan dapat masuk sekolah?”
——

1986
Masjid Jengka Sebelas.

Di sisi ayah. Baring beralaskan gulungan tikar. Sejenak saya terlena. lena di sisi ayah yang begitu menyayangi. Sedari kecil dibawa saya mengenal rumah Allah yang suci.

Tersedar dari tidur. Lihat di kanan. Ayah masih ada di sisi. Saya alihkan pandangan ke kiri. Ada sekotak mancis cap cili di kiri kepala. Hati tergerak untuk mengambilnya. Kotak itu saya capai. Lalu saya tolak dari sisi sebelah kiri. Sekeping wang syiling bernilai 20 sen di dalamnya. Segera saya pandang pada ayah. Ayah tersenyum. Saya juga tersenyum. Gembira. Begitulah ayah mendidik saya, di saat berusia 4 tahun.
——

15 Februari 1986, 5.30 pagi

Aneh rasanya subuh ini. Mungkin itu yang difikirkan oleh ibu. Mengapa suami yang dikasihi masih belum bangkit bersiap sedia untuk ke masjid. Perlahan ibu cuba mengejutkan ayah yang lena beradu. Acapkali ibu mencuba. Takdir sudah tersurat. Rupanya ayah dijemput pulang dalam tidurnya.

Saya masih didakap dinginnya embun pagi. Terus tenggelam dalam dunia mimpi. Langsung tidak mengetahui, ayah sudah tiada lagi.

Tatkala fajar mula menyingsing. Suria mulai menampakkan warnanya, saya bangkit dari lena yang begitu asyik. Masih beranggapan hari ini sama seperti hari-hari sebelumnya yang telah dilalui. Saya turun menuju ke halaman rumah. Memandang langit yang saujana mata memandang. Seketika saya lihat Bangli tergesa-gesa ingin menuju ke rumah jiran. Pantas saya mengekori. Saya berhenti di tepi halaman rumah. Terdengar Bangli berkata, “Ayah baru meninggal dunia subuh tadi”.

Gelap.( Tiada lagi dalam serpihan memori saya)

Waktu Dhuha

Saya menyendiri di tepi tangga. Melihat jenazah ayah di ruang tengah rumah. Sekujur tubuh kaku dibalut kain putih. Mata tidak lepas memandang. Mengapa ayah di situ?

Orang kampung mula menyembahyangkan jenazah ayah. Saya hanya memandang. Pandangan penuh tanda tanya. Belum memahami hakikat pemergian buat selamanya.

Seolah -olah sudah bersebati dengan dinding rumah di tepi tangga, saya tetap setia di situ. Tidak ingin berganjak. Lama. Tidak mempedulikan hal lain. Datang seorang rakan sepermainan yang lebih tua usianya. Cuba mendekati. Lantas bertanya.

“Hisham, engkau tak sedih ke ayah engkau meninggal dunia?”

Saya pandang ke wajahnya. Cuba memahami maksud pertanyaannya. Berpaling pula pada jenazah ayah. Diam seketika.

“Tak tau”. Saya menjawab. Mata terus terpaku pada sekujur tubuh yang sudah tidak lagi bernyawa. Saya tidak menyedari bahawa hari-hari yang bakal akan saya lalui kelak, tidak akan ada lagi insan bergelar ayah.
—-

Hingga ke saat ini, hanya itu memori yang terpahat dalam ingatan saya. Memori seorang kanak-kanak berusia 4 tahun. Puas saya mencari kenangan lain bersama Allahyarham ayah. Namun gagal. Ini sahaja yang saya ada. Malah, sukar untuk saya sendiri gambarkan bagaimana paras rupa seorang insan bergelar ayah.

Di pusara ayahanda yang dikasihi, Allahyarham Ahmad bin Bakri Pusara Aman, Jengka Sebelas

***

Pengalaman adalah guru yang berharga. Kehilangan sesuatu mengajar saya lebih menghargai. Menghargai ketika ia masih ada. Bimbang sekiranya terlewat menghargai, kelak akan memberi penyesalan. Menyesal hanya kerana sebuah keterlambatan