Bayangan di sebalik kabus..

1985/1986
Hari Pertama Sesi Persekolahan
Sekolah Rendah Kebangsaan Jengka Sebelas
…………

Bangman akan mula memasuki darjah satu hari ini. Seperti kebanyakan penduduk Felda Jengka Sebelas, pendaftaran anak-anak akan dihantar oleh ibu bapa. Ayah akan mendaftarkan anaknya yang ke-6 pada hari ini. Saya yang berusia hampir 4 tahun turut dibawa bersama ayah.

Di luar bilik darjah saya lihat ibu bapa berbual-bual dan anak-anak yang baru didaftarkan mula memasuki ke dalam bilik darjah. Saya melihat dengan mata berbinar. Setiap raut wajah saya pandang. Perlahan saya bergerak dari pintu kelas menuju ke meja tulis berhampiran. Perlahan saya sentuh meja itu. Senyuman terukir di bibir. Hati saya berkata.”Bila agaknya saya akan dapat masuk sekolah?”
——

1986
Masjid Jengka Sebelas.

Di sisi ayah. Baring beralaskan gulungan tikar. Sejenak saya terlena. lena di sisi ayah yang begitu menyayangi. Sedari kecil dibawa saya mengenal rumah Allah yang suci.

Tersedar dari tidur. Lihat di kanan. Ayah masih ada di sisi. Saya alihkan pandangan ke kiri. Ada sekotak mancis cap cili di kiri kepala. Hati tergerak untuk mengambilnya. Kotak itu saya capai. Lalu saya tolak dari sisi sebelah kiri. Sekeping wang syiling bernilai 20 sen di dalamnya. Segera saya pandang pada ayah. Ayah tersenyum. Saya juga tersenyum. Gembira. Begitulah ayah mendidik saya, di saat berusia 4 tahun.
——

15 Februari 1986, 5.30 pagi

Aneh rasanya subuh ini. Mungkin itu yang difikirkan oleh ibu. Mengapa suami yang dikasihi masih belum bangkit bersiap sedia untuk ke masjid. Perlahan ibu cuba mengejutkan ayah yang lena beradu. Acapkali ibu mencuba. Takdir sudah tersurat. Rupanya ayah dijemput pulang dalam tidurnya.

Saya masih didakap dinginnya embun pagi. Terus tenggelam dalam dunia mimpi. Langsung tidak mengetahui, ayah sudah tiada lagi.

Tatkala fajar mula menyingsing. Suria mulai menampakkan warnanya, saya bangkit dari lena yang begitu asyik. Masih beranggapan hari ini sama seperti hari-hari sebelumnya yang telah dilalui. Saya turun menuju ke halaman rumah. Memandang langit yang saujana mata memandang. Seketika saya lihat Bangli tergesa-gesa ingin menuju ke rumah jiran. Pantas saya mengekori. Saya berhenti di tepi halaman rumah. Terdengar Bangli berkata, “Ayah baru meninggal dunia subuh tadi”.

Gelap.( Tiada lagi dalam serpihan memori saya)

Waktu Dhuha

Saya menyendiri di tepi tangga. Melihat jenazah ayah di ruang tengah rumah. Sekujur tubuh kaku dibalut kain putih. Mata tidak lepas memandang. Mengapa ayah di situ?

Orang kampung mula menyembahyangkan jenazah ayah. Saya hanya memandang. Pandangan penuh tanda tanya. Belum memahami hakikat pemergian buat selamanya.

Seolah -olah sudah bersebati dengan dinding rumah di tepi tangga, saya tetap setia di situ. Tidak ingin berganjak. Lama. Tidak mempedulikan hal lain. Datang seorang rakan sepermainan yang lebih tua usianya. Cuba mendekati. Lantas bertanya.

“Hisham, engkau tak sedih ke ayah engkau meninggal dunia?”

Saya pandang ke wajahnya. Cuba memahami maksud pertanyaannya. Berpaling pula pada jenazah ayah. Diam seketika.

“Tak tau”. Saya menjawab. Mata terus terpaku pada sekujur tubuh yang sudah tidak lagi bernyawa. Saya tidak menyedari bahawa hari-hari yang bakal akan saya lalui kelak, tidak akan ada lagi insan bergelar ayah.
—-

Hingga ke saat ini, hanya itu memori yang terpahat dalam ingatan saya. Memori seorang kanak-kanak berusia 4 tahun. Puas saya mencari kenangan lain bersama Allahyarham ayah. Namun gagal. Ini sahaja yang saya ada. Malah, sukar untuk saya sendiri gambarkan bagaimana paras rupa seorang insan bergelar ayah.

Di pusara ayahanda yang dikasihi, Allahyarham Ahmad bin Bakri Pusara Aman, Jengka Sebelas

***

Pengalaman adalah guru yang berharga. Kehilangan sesuatu mengajar saya lebih menghargai. Menghargai ketika ia masih ada. Bimbang sekiranya terlewat menghargai, kelak akan memberi penyesalan. Menyesal hanya kerana sebuah keterlambatan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: