Memo Sementara..

Tapi, selalunya ia sekadar dibuat ala-ala ‘Taubat Sambal Belacan’. Bibir kata pedas, tapi jari masih lagi degil nak ‘mencuit’ sambal dan dimasukkan ke mulut. Biar mata berair menahan kepedasan. Tapi demi kepuasan nafsu makan, sambal belacan tetap di’lahap’.

Saya tak pasti memo ini pun seumpama ‘sambal belacan’ atau pun tidak.

Lebai yang dikisahkan Malang

Cerita rakyat memang asyik untuk didengari. Saya lebih akrab dengan kisah ‘rakyat nusantara’ berbanding kisah-kisah ‘rakyat benggali putih’. Saya sanggup menyorokkan buku perpustakaan sekolah rendah yang baru tiba, semata-mata untuk memastikan saya menjadi orang pertama yang meminjamnya memandangkan kuota untuk meminjam tidak pernah cukup. Makanya, terpaksalah saya membuat giliran buku-buku untuk dipinjam dan bagi memastikan tidak terlepas ke tangan murid-murid lain, saya sembunyikan di celah-celah buku yang tidak popular!

Intimnya saya dengan perpustakaan hingga menimbulkan satu persepsi bahawa saya adalah Pustakawan sedangkan saya tidak dilantik untuk jawatan tersebut.. saya hanya Pengawas SPBT

Antara yang ingin saya nukilkan dan bicarakan ialah kisah LEBAI MALANG.

Dikatakan Lebai Mail tinggal di tepi sebatang sungai.(Saya namakan Lebai ini dengan nama Lebai mail kerana tidak pasti nama sebenar. Lebai Malang hanya sandaran kepada peristiwa yang terjadi kepada lebai tersebut)

Alkisah tercatat pada suatu hari. Lebai Mail dijemput oleh dua orang penduduk kampung berhampiran untuk hadir ke majlis kenduri. Seorang di hulu dan seorang di hilir. Di hulu sajiannya ialah daging kambing. Di hilir pula disajikan ayam sebagai jamuan.

Setelah membuat perkiraan dan keuntungan perut untuk memilih hidangan yang bertepatan, maka direncanakan dalam jadual Lebai Mail untuk menghadiri kenduri di hulu terlebih dahulu kerana hidangannya adalah kambing. Sajian ayam dikemudiannya kerana tahap seleranya lebih rendah berbanding keinginan untuk melampiaskan selera dengan daging kambing.

Maka, bersusah payah Lebai Mail mengharungi arus menuju ke hulu. Kerana arusnya bertentangan, tempoh masa juga berpanjangan untuk tiba ke destinasi. Ternyata langkah Lebai Mail adalah langkah kiri. Kambing yang diidam-idamkan telah selesai dinikmati penduduk kampung. Walau terasa terkilan, Lebai Mail masih meletakkan harapan untuk menikmati jamuan di hilir. Agar peruntukan belanjawan kos makan pada hari itu dapat dikurangkan. Perjalanan ke hilir tidaklah sukar kerana selari dengan arus yang mengalir. Namun, kelewatan tetap berpihak pada Lebai Mail. Ayam juga telah tiada. Kasihan Lebai Mail. Kasihan. Lebai Mail yang malang. Lebai Malang.
….

Mungkin penilaian yang diberikan oleh khalayak adalah berdasarkan kepada pengajaran dalam kisah rakyat itu tadi. Namun saya melihat dari aspek lain. Saya melihat berdasarkan watak yang dipamerkan.

Lebai Mail adalah watak utama. Saya percaya gelaran Lebai bukan calang-calang diberikan. Apatah lagi apabila dikaitkan dengan zaman yang melatari kisah tersebut. Kisah Lebai Mail bukan kisah zaman sekarang. Kisahnya digambarkan berlaku pada dulu kala. Zaman di mana Tok Guru, Imam, Ustaz, Lebai dipandang mulia.

Kisah Lebai Mail pula dipaparkan kepada kita perwatakan seorang ‘lebai’ yang tamak. Tidak bijak membuat keputusan. Kesannya, gelaran LEBAI yang dianggap mulia digandingkan dengan kata sifat iaitu MALANG. Jadilah LEBAI MALANG. Gandingan subjek dan prediket yang langsung tidak bersesuaian.

Saya tertanya-tanya sendiri. Mengapa watak seorang lebai yang digunakan? Kenapa bukan watak orang kampung biasa? Adakah tika kisah ini diceriterakan ‘ghazwu fikri’ telah disebarkan? Kita hanya menerima kisah ‘keburukan’ mereka yang berorientasikan nilai-nilai Islam.

Minda kita di era kini disumbat dengan perkara-perkara ‘luar biasa’ hingga menjadi ‘biasa’ kepada kita. Orang Islam, lebih-lebih lagi berstatus ‘ustaz/ustazah’ tidak lagi digambarkan oleh media sebagai orang luar biasa. Mereka seperti orang biasa. Biasa ditangkap basah. Biasa berkelakuan tidak bermoral. Malah, orang biasa juga boleh diangkat menjadi ‘ustaz/ustazah’. Orang yang hanya ‘biasa’ dari segi kepatuhan dalam beragama.

Lebih malang lagi, individu yang berpendidikan dan seharusnya layak memegang status ‘ustaz/ustazah’ juga nampaknya amat bekerjasama. Sama-sama menjadikan ilmu agama hanya perkara biasa. Cemerlang tapi sumbang.

apabila 'lebai' take FIRE

Kalau begitu, di mana hak kami pula?!!!

Kalau ini yang diperjuangkan. Ini yang dipentingkan. Saya ingin bertanya… bagaimana dengan hak kami untuk memastikan mata kami yang diamanahkan oleh Allah terjaga sebaiknya?

Saya sakit hati!! Sedara sedari sakit hati tak? Klik di bawah kalau nak tau apa yang saya sangat-sangat sakit hati..

ORANG GILA!!!

Jalan di hadapan..

membesarlah dalam dakapan kasih sayang AllahSetiap hari akan lahir generasi baru. Mereka bakal meneruskan perjuangan di muka bumi. Mewarisi apa yang ditinggalkan. Mendepani apa yang tersedia untuk mereka. Tinggalan generasi terdahulu. Hasil usaha kita jua.

Bayi yang baru berkenalan dengan dunia ini terlalu bersih. Bersih dari dosa. Bersih dari hasad dengki; cantas mencantas; fitnah memfitnah. Biarpun ada dilahirkan tanpa ikatan sah ‘ibu’ dan ‘bapanya’. Walaupun dicampak di dalam longkang. Terbiar di tepi masjid. Walau luka digigit anjing. Bayi ini tetap bersih.

Apa yang kita sediakan untuk bayi-bayi ini? Anak-anak kita. Penyambung zuriat keturunan kita. Ternyata, hamparan yang kita sediakan tidak sehijau mana. Tidak menenangkan. Bahkan menyesakkan. Kusam warnanya. Kita sediakan mereka dengan duri yang menyakitkan.

Budaya beracun kita semai. Rasuah, gila pangkat dan harta, skinhead, gothik, puja artis, love world, agama sekadar adat, seks bebas, cemerlang pendidikan tapi sumbang amalan.
…………..

Sesekali pulang ke desa. Ingin lari dari asakan kota. Aduh, desa juga berubah rupa. Hilang nilai akhlak. Hilang sudah budaya desa. Desa yang permai. Damai. Walau rupa kekal menghijau, angin lembut sesekali mengelus setiap wajah, masih kedengaran suara-suara alam, hakikatnya nilai dalaman sudah hampir hilang.

Kembali ke hutan batu. Fikiran bertambah sesak. Nilai-nilai murni telah lama dikorbankan. Menjadi mangsa korban untuk meraih impian bernama KEMAJUAN. Maju menurut lensa mereka yang tidak bertuhankan Allah S.W.T. yang akan menghisab setiap amalan.
………………..

Kasihan. Kasihan pada bayi-bayi kecil ini. Lihatlah ‘orang-orang tua’ mereka. Bergelumang dengan maksiat. Runtuh rumahtangga. Lupa pada tanggungjawab. Lupa pada halal dan haram. Kemudi agama sudah patah. Layar sudah carik. Hilang arah perjalanan. Perjalanan yang dinamakan kehidupan.

Lihatlah ‘abang dan kakak’ mereka. Berpeleseran entah ke mana. Berpakaian sudah tidak sempurna. Berlumba-lumba memenuhi setiap konsert hiburan. Bergotong-royong membingitkan kompleks jualan. Lupa pada batas pergaulan. Lupa pada nilai agama. Malah ada yang sanggup menukar iktikad Islam sebagai agama.
……………….

Bayi-bayi ini merintih. Didiklah kami dengan kesempurnaan agama. Kenalkan kami musuh kami sebenarnya. Jangan jadikan kami umpama Yahudi dan Nasrani. Bentuklah kami menjadi Mukmin sejati. Persiapkan kami untuk dihantar ke masa depan yang mencabar. Ketika ini suasana amat tercabar. Apatah lagi masa depan yang lebih teramat mencabar.
……………………

Hati ini berbicara:
Semoga akan terus wujud anak-anak kecil yang sedia menggalas Al-Quran yang suci. Membaca Kalam Allah malam, siang, petang, pagi, juga dinihari. Lantas mengalir siramannya ke dalam hati. Membenihkan rasa cinta kepada Ilahi. Mendukung seruan suci. Setia pada ajaran agama yang murni. Itulah anak-anak kita. Anak-anak kesayangan kita.

Ada erti pada seni..

 Poster HAPPY FEET.. watch my pet in action!!Haiwan kesayangan saya sudah mula beraksi. Bukan lagi rahsia bahawa penguin adalah haiwan kesayangan saya, di samping ikan-ikan hiasan yang begitu menambat hati saya. Antara impian saya ialah memiliki akuarium ikan di rumah sendiri. Juga impian memiliki sepasang penguin untuk dipelihara. Dan untuk itu saya perlu menyediakan akuarium khas yang disesuaikan dengan ekologi penguin. Saya sedar, antara dua impian ini hanya satu sahaja yang mungkin dapat saya penuhi.

Pandai betul mengolah ayat..sejak bila perkara ni jadi rahsia? Sebenarnya bukan rahsia, cuma tak dihebahkan je. Takkan nak hebohkan satu dunia yang saya suka penguin dan secara tidak langsung amat gemar menonton cerita PINGU?..

Tanpa sengaja, saya menonton sedutan filem HAPPY FEET ini di TV. Saya tertarik dengan kata-kata yang diluahkan oleh Mumble.

“Dad.., please don’t ask me to change what I can’t”

Saya tidak pasti ayat sebenar, tapi beginilah maksudnya. Di dalam menjalani kehidupan kita, mungkin sesekali ada di antara kita terasa ingin meluahkannya. Saya tidak kata kita semua. Hanya beberapa. Saya tidak ada statistik berkaitan hal ini untuk saya jadikan indikator dalam membuat penilaian.

Adakah kata-kata ini menunjukkan rasa berputus asa? Atau sekadar luahan dari rintihan hati yang remuk redam?

Hati saya tersentuh dengan kata-kata Mumble ini. Terasa sayu. Tatkala dihalau pergi, saya juga sedih. Hanya kerana ketidakupayaan, hukumannya berat sekali. Meninggalkan semuanya untuk pergi membawa diri.

Andai ini takdirnya, biarlah aku pergi. Kerana hadirku tidak bermakna lagi. Jangan dikesali jika suatu hari nanti, bilamana daku dicari, maaf… jasad ini tidak dapat menghadirkan diri lagi… usah ditangisi kelewatan untuk menghargai kerana tatkala ada disisi, tidak pernah dipeduli..

Apa yang dikatakan oleh Mumble ingin saya kaitkan dengan firman Allah S.W.T di dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:

“Allah tidak mengubah nasib suatu kaum sehingga mereka mengubahnya sendiri”

Percaya atau tidak bahawa intipati daripada Firman Allah ini telah diambil oleh sebuah syarikat gergasi di Asia untuk memotivasikan pekerja-pekerjanya? Believe it!!

Adakah berlakunya pertentangan di antara apa yang diungkapkan oleh Mumble dan juga Kalam Allah ini? Dan adakah keluhan kita yang kadangkala singgah di hati juga menafikan firman Allah ini? Apakah jua ia tanda kita malas berusaha? Lantas menjadikan ia sebagai suatu alasan yang memihak pada kita?

Saya optimis dengan menyatakan bahawa ada di antara perkara yang dapat kita ubah. Dan dalam masa yang sama ada juga yang kita tidak dapat mengubahnya. Kita mampu mengubah hati dan akal kita dalam berfikir. Kita mampu mengubah bentuk badan kita dari kurus kepada gemuk dan dari gemuk kepada kurus. Tapi, dapatkah kita ubah tubuh kita dari rendah kepada tinggi? Dari tinggi kepada rendah? Ia hampir-hampir mustahil!! Jadi, terimalah hakikat bahawa ada sesetengah perkara kita tidak dapat mengubahnya.

Apabila kita menyedari hakikat ini, maka terimalah dengan hati terbuka setiap perbezaan kita. Sebagai makhluk yang mampu berfikir, sudah tentu kita dapat membezakan perkara yang dapat diubah dan tidak dapat diubah.

Friends…
Please don’t ask me to change what I can’t.
Terimalah saya seadanya…