Hakim boleh pertikai MC

Hakim boleh pertikai MC
Oleh Ziauddin Sharuddin- BH 21/1/2007

Elak peguam salah guna sijil sakit sebagai alasan tangguh perbicaraan kes

KUALA LUMPUR: Hakim yang sangsi terhadap peguam yang mengemukakan Sijil Sakit (MC) sebagai bukti untuk menangguhkan kes disaran memanggil doktor yang memberikan MC untuk memastikan peguam berkenaan tidak menipu.

Majlis Peguam Malaysia berpandangan pendekatan itu adalah antara kuasa mahkamah yang boleh digunakan bagi menangani peguam yang suka menangguh kes dengan memberikan pelbagai alasan, termasuk mengemukakan MC.

Pengerusinya, Yeo Yang Poh, berkata walaupun jarang berlaku dalam sejarah kehakiman negara, ada hakim di negara ini bertindak demikian.

Katanya, mahkamah berkuasa untuk menerima atau menolak permohonan peguam menangguhkan kes dengan meneliti alasan yang dikemukakan.

“Permohonan menangguhkan kes wajar diterima jika alasan yang peguam kemukakan adalah munasabah. Jika tidak munasabah, mahkamah boleh menolak permohonan itu. Ini adalah kuasa mahkamah.

“Tidak benar bahawa kes tertunggak berlaku kerana peguam meminta kes ditangguh. Peguam perlu akur jika mahkamah membuat keputusan supaya kes diteruskan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar, apabila diminta mengulas isu yang sama berpendapat, perkara itu perlu dilihat dari segi akar umbi, iaitu untuk memastikan keadilan dicapai.

Katanya, penangguhan di Mahkamah Syariah dibenarkan jika dokumen yang diperlukan tidak cukup atau saksi penting tidak hadir kerana dikhuatiri keadilan dipinggirkan apabila kes diteruskan semata-mata mahu segera diselesaikan.

“Permohonan penangguhan perlu dipertimbangkan dengan adil. Jika dokumen tidak cukup, hakim perlu meneliti usaha untuk mendapatkan dokumen itu. Kalau sakit sikit dan akal boleh berfungsi, peguam sepatutnya datang. Hanya apabila sakit teruk, baru permohonan menangguhkan kes boleh diterima,’ katanya.

Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, menyalahkan peguam yang meminta penangguhan kes sebagai antara faktor bilangan perbicaraan tertunggak masih tinggi walaupun kerajaan berusaha mengurangkannya.

Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, pula dilaporkan berkata mahkamah perlu menjalankan tugas supaya tertuduh mendapat keadilan dan tidak semesti penangguhan berpunca dari mahkamah, malah pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mengulas dakwaan bahawa peguam menangguhkan kes sebagai strategi untuk melengah-lengahkan proses perbicaraan dan menyusahkan pihak lawan, Yeo berkata, mahkamah boleh mengambil tindakan jika terbukti peguam bertindak demikian.

Selain mahkamah, katanya Majlis Peguam boleh bertindak terhadap ahlinya yang melakukan perbuatan itu dengan syarat ada bukti.

“Katakan seorang peguam mengemukakan MC pada jam 10 pagi dan pada jam 12 tengah hari dia menghadiri satu kes lain atau berada pada satu majlis makan tengah hari di sebuah hotel. Berdasarkan bukti itu, dia boleh dikenakan tindakan.

Zainul Rijal tidak menolak kemungkinan ada peguam bertindak begitu, tetapi peguam setiap pihak perlu lebih peka dengan permohonan penangguhan.

“Peguam perlu membantah permohonan peguam satu pihak lagi jika alasan yang dikemukakan tidak wajar atau sengaja menyalahgunakan prosedur mahkamah. Dia tidak boleh menyalahkan mahkamah atau peguam lawan jika hanya berdiam diri,” katanya.

Bagaimanapun, katanya ada banyak faktor lain perlu diambil kira seperti mahkamah sendiri yang menangguhkan kes apabila hakim berkursus atau cuti sakit.

Selain itu, katanya ada faktor di luar kawalan peguam, terutama membabitkan anak guam yang tidak bekerjasama seperti tidak datang untuk membincangkan kesnya atau tidak datang pada hari perbicaraan.

Yeo berpendapat faktor lebih penting yang menyebabkan kes tertunggak berlaku kerana masalah kekurangan sumber manusia dalam perkhidmatan kehakiman, meliputi Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret.

Katanya, kekurangan kakitangan bukan hanya membabitkan peringkat hakim, majistret dan pendaftar mahkamah, tetapi meliputi kakitangan sokongan seperti jurubahasa, sedangkan kes sivil dan jenayah semakin bertambah.

Walaupun mengakui kerajaan berusaha menambah kakitangan perkhidmatan kehakiman, Yeo berpendapat pertambahan itu belum mencukupi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: