Lafaz yang tersimpan..

Entah kenapa perasaan sebegini dirasai. Terlalu menyayangi tetapi terlalu sukar melafazkan.

Ibu. Saya sayang ibu

Itulah terkadang sikap kita. Anak-anak yang telah dewasa. Seakan malu melafazkan. Hanya mampu menzahirkan dengan tingkah laku. Benar kita sayang pada ibu. Benar kita kasih pada ibu. Tapi, kasih dan sayang tidak kita ‘lafazkan’. Kasih dan sayang kita kepada ibu, kita hanya terdaya ‘mempamerkan’.

Andai termampu, usaplah tangan ibu. Kucupi pipi ibu. Luahkan kata yang amat bermakna.”Ibu, saya sayang ibu”.

Lafaz Yang Tersimpan

Luluh hatiku yang sayu
Menatap wajahmu tenang dalam lena
Kasih zahirkan laku
Sedangkan bibirku jauh dari lafaznya

Dan raut tuamu membekas jiwaku
Meredakan rindu mendamaikan kalbu
Tak mungkin kutemu iras sentuhanmu
Biarpun kuredah seluruh dunia
Mencari gantimu

Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanya sekadar tingkah
Cuma ungkapan kebisuan yang melindungkan kalimah rahsia

Masih kubiarkan waktu
Melarikan lafaz kasihku padamu

Mengapakah sukar menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanyalah sekadar tingkah
Cumalah ungkapan bisu kalimah rahsia

Apakah yang hilang andai dilisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan atur kata

Tiada lagi ertinya pengucapan
Anadai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan

::UNIC:: Album Tika Itu::

Advertisements

Wakaf dan Peranannya dalam Pembangunan Ummah

WAKAF DAN PERANANNYA DALAM PEMBANGUNAN UMMAH

Oleh: Hj. Mohd Nazri Chik

Institusi wakaf semakin diberi perhatian dewasa ini lantaran kesedaran tentang kepentingannya sebagai salah satu pemangkin pembangunan ekonomi umat Islam.

KONSEP WAKAF

Terminologi wakaf berasal daripada perkataan Arab “waqafa” yang bermaksud berhenti, menegah dan menahan. Dari segi istilah, wakaf telah diberikan beberapa takrif seperti:

1. Syed Sabiq (Fiqh al-Sunnah) – Wakaf ialah menahan harta dan memberikan manfaatnya pada jalan Allah.

2. Sahiban Abu Hanifah; Abu Yusuf dan Muhammad bin Hassan – Wakaf ialah menahan ‘ain mawquf (benda) sebagai milik Allah atau pada hukum milik Allah dan mensedekahkan manfaatnya ke arah kebajikan dari mula hingga akhirnya.

3. Dr. Muhammad Al-Ahmad Abu Al-Nur, bekas Menteri Wakaf Mesir – Wakaf ialah harta atau hartanah yang ditahan oleh pemiliknya sekira-kira dapat menghalang penggunaannya dengan dijual atau dibeli ataupun diberikan sebagai pemberian dengan syarat dibelanjakan faedahnya atau keuntungannya atau hasil mahsulnya kepada orang yang ditentukan oleh pewakaf.

Takrif-takrif di atas telah menunjukkan kedudukan wakaf sebagai sebahagian daripada amalan yang dianjurkan oleh Syariah sebagaimana firman Allah SWT:

“Bandingan (pahala) orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, dan pada tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Allah melipatgandakan (pahala) bagi setiap yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas (Kurniaannya) lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: Ayat 261)

Daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila mati anak Adam, terputus amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kepadanya.”

(Hadith Riwayat Muslim)

Istilah wakaf adalah berkait dengan infaq, zakat dan sedeqah. Ia adalah termasuk dalam mafhum infaq yang disebut oleh Allah sebanyak 60 kali dalam al-Quran. Ketiga-tiga perkara ini bermaksud memindahkan sebahagian daripada segolongan umat Islam kepada mereka yang memerlukan. Namun, berbanding zakat yang diwajibkan ke atas umat Islam yang memenuhi syarat-syarat tertentu dan sedeqah yang menjadi sunat yang umum ke atas umat Islam; wakaf lebih bersifat pelengkap (complement) kepada kedua-dua perkara tersebut. Disamping itu, apa yang disumbangkan melalui zakat adalah tidak kekal dimana sumbangannya akan digunakan dalam bentuk hangus, sedangkan harta wakaf adalah berbentuk produktif iaitu kekal dan boleh dilaburkan dalam pelbagai bentuk untuk faedah masa hadapan.

SEJARAH PERLAKSANAAN WAKAF

Rasulullah SAW merupakan perintis kepada amalan wakaf berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Umar bin Syaibah daripada ‘Amr bin Sa’ad bin Mu’az yang bermaksud:

“Kami bertanya tentang wakaf yang terawal dalam Islam? Orang-orang Ansar mengatakan adalah wakaf Rasulullah SAW.”

(Hadith Riwayat Al-Syaukani)

Continue reading

Kisah kawan


Kata kawan saya:

Dia yang saya kenali dulu. Lembut pada pandangannya. Ayu pada akhlaknya. Indah pada pakaiannya. Alangkah bahagianya andai dia menjadi suri hidupku kelak.

Kami sama-sama dari sekolah yang berlainan. Mendaftar ke sekolah yang baru lantas dimasukkan ke kelas yang sama. Kelas aliran agama & akaun. Sekolah kami sekolah agama yang ternama. Kami dididik dengan akhlak Islam.

Pernah Ustaz Zamri memberi amanah di dalam kelas. Kata Ustaz Zamri:

Continue reading

Usrah terakhir


Selesai solat Jumaat, solat jenazah didirikan. Isteri Pakcik Nanyan Arshad telah kembali ke Rahmatullah pada hari sebelumnya. Dalam kesesakan orang ramai, saya sempat mengerling pandangan pada Pakcik Nanyan. Berbaju melayu berwarna putih juga kopiah yang sama warna. Ternampak redup dipandangan. Selesai jenazah diiringi saya pulang ke rumah.

Di rumah ketika berbual bual dengan ibu, kisah lama disingkap kembali. Kisah yang tidak pernah saya ketahui sebelum ini. Kisah ayah saya yang dijemput pulang ke pangkuan Ilahi.

Selama ini saya hanya mengetahui ayah ‘pergi’ tanpa diduga. Dijemput ketika dalam lenanya.

Rupa-rupanya malam terakhir roh dan jasad ayah masih bersatu, pada malam itu jugalah usrah terakhir yang ayah hadiri. Malam itu di rumah Pakcik Nanyan usrah dijalankan. Pemergian ayah pada keesokannya memang tidak disangka oleh rakan-rakan ayah yang lain.

Kisah hidup ayah tidak banyak yang saya tahu. Hati saya terlalu berat untuk bertanya kepada ibu sejarah hidup ayah. Apa yang saya tahu, ayah aktif dalam jamaah. Ayah pernah menjadi ketua blok. Ayah adalah tukang gunting sambilan di Jengka. Ayah sering membawa saya ke masjid. Ayahlah bapa yang terbaik buat saya. Walau saya hanya sempat bersama ayah 4 tahun sahaja. Saya benar-benar rindukan ayah… Terlalu rindu.

Ya Allah, ampuni dosa-dosa ayahku. Tempatkan ayahku dikalangan hambaMu yang soleh. Terangilah pusara persemadian ayahku. Sampaikan doaku buat ayahku. Aku rindu untuk bertemu dengan ayahku. Moga di akhirat kelak aku dapat berkumpul bersama kekasihMu Nabi Muhammad S.A.W, para sahabat, para penghuni syurga, juga bersama ayahku serta seluruh keluargaku. Amin.

Tempoh bertenang

Seminggu ini saya berada di kampung halaman. Ada beberapa perkara yang perlu saya selesaikan. Jadi, selama seminggu ini juga saya tidak dapat selalu melayari internet seperti kebiasaan. Saya perlu ke bandar untuk tujuan itu. Saya kini dalam tempoh bertenang.

Untuk mengisi kekosongan ilmuOne ini, saya berhajat menukilkan satu kisah pendek yang muncul dari perbualan waktu senggang…

Shamsul : Ramai betul yang tinggi-tinggi kat sini. Kita berdua je rendah..

Hisham : Ha ah. Betul tu. Ada tak cara nak bagi badan jadi tinggi?

Shamsul :Tak tau la pulak. Yang tau untuk jadi kurus ada la…

Ahmad : Ada la cara nak jadi tinggi. Korang je tak buat.

Hisham
& Shamsul : Macam mana?

Ahmad : Lain kali masa kecik tu bergayut la selalu.

Hisham : Ada lain kali lagi ke??

………

Sekian