Wakaf dan Peranannya dalam Pembangunan Ummah

WAKAF DAN PERANANNYA DALAM PEMBANGUNAN UMMAH

Oleh: Hj. Mohd Nazri Chik

Institusi wakaf semakin diberi perhatian dewasa ini lantaran kesedaran tentang kepentingannya sebagai salah satu pemangkin pembangunan ekonomi umat Islam.

KONSEP WAKAF

Terminologi wakaf berasal daripada perkataan Arab “waqafa” yang bermaksud berhenti, menegah dan menahan. Dari segi istilah, wakaf telah diberikan beberapa takrif seperti:

1. Syed Sabiq (Fiqh al-Sunnah) – Wakaf ialah menahan harta dan memberikan manfaatnya pada jalan Allah.

2. Sahiban Abu Hanifah; Abu Yusuf dan Muhammad bin Hassan – Wakaf ialah menahan ‘ain mawquf (benda) sebagai milik Allah atau pada hukum milik Allah dan mensedekahkan manfaatnya ke arah kebajikan dari mula hingga akhirnya.

3. Dr. Muhammad Al-Ahmad Abu Al-Nur, bekas Menteri Wakaf Mesir – Wakaf ialah harta atau hartanah yang ditahan oleh pemiliknya sekira-kira dapat menghalang penggunaannya dengan dijual atau dibeli ataupun diberikan sebagai pemberian dengan syarat dibelanjakan faedahnya atau keuntungannya atau hasil mahsulnya kepada orang yang ditentukan oleh pewakaf.

Takrif-takrif di atas telah menunjukkan kedudukan wakaf sebagai sebahagian daripada amalan yang dianjurkan oleh Syariah sebagaimana firman Allah SWT:

“Bandingan (pahala) orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, dan pada tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Allah melipatgandakan (pahala) bagi setiap yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas (Kurniaannya) lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: Ayat 261)

Daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila mati anak Adam, terputus amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kepadanya.”

(Hadith Riwayat Muslim)

Istilah wakaf adalah berkait dengan infaq, zakat dan sedeqah. Ia adalah termasuk dalam mafhum infaq yang disebut oleh Allah sebanyak 60 kali dalam al-Quran. Ketiga-tiga perkara ini bermaksud memindahkan sebahagian daripada segolongan umat Islam kepada mereka yang memerlukan. Namun, berbanding zakat yang diwajibkan ke atas umat Islam yang memenuhi syarat-syarat tertentu dan sedeqah yang menjadi sunat yang umum ke atas umat Islam; wakaf lebih bersifat pelengkap (complement) kepada kedua-dua perkara tersebut. Disamping itu, apa yang disumbangkan melalui zakat adalah tidak kekal dimana sumbangannya akan digunakan dalam bentuk hangus, sedangkan harta wakaf adalah berbentuk produktif iaitu kekal dan boleh dilaburkan dalam pelbagai bentuk untuk faedah masa hadapan.

SEJARAH PERLAKSANAAN WAKAF

Rasulullah SAW merupakan perintis kepada amalan wakaf berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Umar bin Syaibah daripada ‘Amr bin Sa’ad bin Mu’az yang bermaksud:

“Kami bertanya tentang wakaf yang terawal dalam Islam? Orang-orang Ansar mengatakan adalah wakaf Rasulullah SAW.”

(Hadith Riwayat Al-Syaukani)


Orang Jahiliyyah tidak mengenali akad wakaf yang merupakan sebahagian daripada akad-akad tabarru’, lalu Rasulullah SAW memperkenalkannya kerana beberapa ciri istimewa yang tidak wujud pada akad-akad sedekah yang lain. Institusi terawal yang diwakafkan oleh Rasulullah SAW ialah Masjid Quba’ yang diasaskan sendiri oleh Baginda SAW apabila tiba di Madinah pada 622M atas dasar ketaqwaan kepada Allah SWT. Ini diikuti pula dengan wakaf Masjid Nabawi enam bulan selepas pembinaan Masjid Quba’. Diriwayatkan bahawa Baginda SAW membeli tanah bagi pembinaan masjid tersebut daripada dua saudara yatim piatu iaitu Sahl dan Suhail dengan harga 100 dirham.

Pandangan masyhur menyatakan individu pertama yang mengeluarkan harta untuk diwakafkan adalah Saidina ‘Umar RA dengan mewakafkan 100 bahagian daripada tanah Khaibar kepada umat Islam. Anaknya Abdullah bin ‘Umar RA menyatakan bahawa ayahnya telah mendapat sebidang tanah di Khaibar lalu dia datang kepada Rasulullah SAW untuk meminta pandangan tentang tanah itu, maka katanya:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mendapat sebidang tanah di Khaibar, dimana aku tidak mendapat harta yang lebih berharga bagiku selain daripadanya, (walhal aku bercita-cita untuk mendampingkan diri kepada Allah) apakah yang engkau perintahkan kepadaku dengannya?.” Maka sabda Rasulullah SAW: “Jika engkau hendak, tahanlah (bekukan) tanah itu, dan sedekahkan manfaatnya.” “Maka ’Umar telah mewakafkan hasil tanahnya itu, sesungguhnya tanah itu tidak boleh dijual, tidak boleh dihibah (diberi) dan diwarisi kepada sesiapa.” Katanya lagi: “’Umar telah menyedekahkannya kepada orang-orang fakir, kaum kerabat, hamba yang baru merdeka, pejuang-pejuang di jalan Allah, ibn Sabil dan para tetamu. Tidaklah berdosa sesiapa yang menyelia tanah wakaf itu memakan sebahagian hasilnya sekadar yang patut, boleh juga ia memberi makan kawan-kawannya, tetapi tidaklah boleh ia memilikinya.”

Sejak itu amalan wakaf berkembang sehingga menjadi tulang belakang kepada menjadi teras kepada pembangunan umat Islam terdahulu dan berkekalan sehingga ke hari ini. Banyak institusi pendidikan seperti Universiti Cordova di Andalus, Al-Azhar al-Syarif di Mesir, Madrasah Nizamiyyah di Baghdad, al-Qurawiyyin di Fez, Maghribi, Al-Jamiah al-Islamiyyah di Madinah, Pondok Pesantren Darunnajah di Indonesia, Madrasah Al-Juneid di Singapura dan banyak institusi pondok dan sekolah agama di Malaysia adalah berkembang berasaskan harta wakaf. Universiti Al-Azhar contohnya telah membangun dan terus maju hasil sumbangan harta wakaf. Sehingga kini pembiayaan Univesiti Al-Azhar yang dibina sejak 1000 tahun lalu telah memberikan khidmat percuma pengajian kepada ribuam pelajar Islam dari seluruh dunia. Merekalah yang menjadi duta Al-Azhar untuk membimbing umat Islam kearah penghayatan Islam di seluruh pelusuk dunia.

CIRI-CIRI KEISTIMEWAAN HARTA WAKAF

Harta wakaf dalam dioperasikan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi umat Islam kerana ia memiliki beberapa ciri berikut:

1. Keunikan wakaf pada konsep pemisahan diantara hak pemilikan dan faedah penggunaannya. Pewakafan harta menyebabkan kuasa pemilikan hartanya akan terhapus daripada harta tersebut. Wakaf secara prinsipnya adalah satu kontrak berkekalan dan pewakaf tidak boleh lagi memiliki harta itu dengan apa jua sekalipun, kecuali sebagai pengurus harta wakaf. Secara majazinya harta wakaf adalah menjadi milik Allah Taala.

2. Wakaf adalah sedekah berterusan iaitu bukan sahaja membolehkan pewakaf mendapat pahala berterusan, tetapi penerima mendapat faedah berterusan. Dengan itu pihak yang bergantung wakaf boleh mengatur perancangan kewangan institusinya dengan berkesan untuk jangka panjang. Disamping itu pihak pewakaf tidak perlu bimbang mungkin berlaku sabotaj seperti pengubahan status wakaf tanahnya oleh pemerintah kerana kaedah fiqh menyatakan: “Syarat pewakaf adalah seperti nas Syara’.”

3. Penggunaan harta wakaf adalah untuk kebajikan dan perkara-perkara yang diharuskan oleh Syara’. Oleh tidak diwajibkan menentukan golongan yang mendapat manfaat daripada wakaf dan memadai menyebutkan: “Saya wakafkan harta ini kerana Allah.” Ciri ini membolehkan pengembangan harta wakaf kepada pelbagai bentuk moden selagimana ia menepati objektif wakaf.

WAKAF DI MALAYSIA

Perkembangan wakaf sejak zaman Rasulullah SAW juga mempengaruhi kehidupan umat Islam di Malaysia sejak zaman pengIslamannya. Perkembangan tersebut bolehlah digambarkan melalui fakta-fakta berikut:

1. Malaysia memiliki tanah wakaf yang amat besar dan jika dibangunkan boleh memberi impak kepada pembangunan ekonomi umat Islam khasnya dan Negara amnya. Keluasan tanah wakaf di Malaysia ialah sebanyak 20,735.61 ekar dimana sebanyak 14,815.787 ekar adalah wakaf khas dan 5,919.83. Negeri Johor adalah negeri yang paling banyak memiliki tanah wakaf diikuti oleh Perak dan Pahang. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mencatatkan jumlah tanah wakaf di Malaysia seperti berikut:

waqaf11.jpg

2. Selain daripada wakaf tanah, terdapat banyak institusi pendidikan di Malaysia yang terus memberi bakti di atas asas wakaf seperti Madrasah al-Attas di Pekan, Madrasah al-Attas di Johor, Sekolah Agama Arab Al-Masriyah di Bukit Mertajam, Madrasah Khairiah Islamiah di Kepala Batas, Madrasah Masyhor al-Islamiyyah di Pulau Pinang, Maahad al-Yahyawiah di Padang Rengas, Perak, Maahad al-Ihya’ al-Syarif di Gunung Semanggol, Maahad Mahmud di Alor Setar, Kolej Islam Sultan Alam Shah di Kelang dan lain-lain lagi.

3. Di sebalik fakta-fakta di atas, masih terdapat banyak masalah dalam membangunkan harta wakaf di Malaysia. Antara lainnya ialah:

1. Masalah perundangan iaitu ketidakseragaman undang-undang wakaf antara negeri-negeri yang mewujudkan perbezaan dalam pemahaman, tafsiran, tatacara pengeluaran fatwa dan hukum. Ini berpunca daripada kedudukan harta wakaf sepertimana perkara-perkara agama lain terletak di bawah bidangkuasa negeri (Perlembagaan Persekutuan, Jadual Kesembilan, Senarai 2 (1)) dan tiada enakmen khusus berkaitan pengurusan dan pentadbiran wakaf di negeri-negeri kecuali Selangor (Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 7/1999).

2. Kebanyakan tanah wakaf di kawasan bandar terletak di lokasi yang kurang strategik dan tidak berpotensi untuk dibangunkan. Manakala tanah wakaf di kawasan pedalaman tidak digunakan secara optima kerana kerana ketiadaan keperluan untuk dibangunkan.

3. Terdapat juga kes pencerobohan tanah wakaf secara haram di beberapa negeri bukan sahaja untuk tujuan penempatan, malah digunakan untuk membina premis-premis perniagaan.

4. Terdapat tanah wakaf yang belum didaftarkan di bawah pentadbiran pihak berkuasa agama menyebabkan ia tidak boleh dibangunkan.

5. Ketiadaan pengkalan data yang lengkap tentang tanah-tanah wakaf.

4. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkembangan positif yang menggambarkan kesedaran yang tinggi dikalangan pelbagai pihak terhadap potensi harta wakaf iaitu:

1. Penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji pada 27 Mac 2004 oleh Kerajaan Malaysia. Objektif jabatan in tentang wakaf ialah untuk mewujudkan institusi wakaf yang kemas, teratur, seragam, telus dan berkesan menurut lunas-lunas Syarak yang dapat membantu meningkatkan taraf sosiekonomi masyarakat Islam di Malaysia.

2. Pengemukakaan cadangan pensekuritian harta wakaf melalui instrumen sukuk untuk mengembangkan lagi manfaat harta wakaf dalam cadangan 68, Pelan Induk Pasaran Modal Malaysia yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada Februari 2001.

3. Penerbitan Saham Wakaf oleh beberapa negeri seperti Johor, Melaka dan Selangor. Cadangan ini adalah menepati keputusan Majma’ Fiqh Islamiy pada 24 November 2005 bahawa:

“Adalah harus mewaqafkan bahagian-bahagian dan saham-saham syarikat kewangan yang diperniagakan dalam dagangan yang diharuskan oleh Syarak dengan syarat saham-saham ini beserta keuntungannya diagihkan sejajar serta mengikut syarat-syarat yang telah ditentukan oleh pewaqaf dimana ia adalah seperti nas Syarak iaitu satu kaedah yang telah disepakati oleh Ulama.”

Saham Wakaf Johor telah membolehkan pembinaan Bangunan Saham Wakaf Johor di Skudai dengan kos RM 4 juta, pembangunan projek wakaf pertanian seluas 3800 hektar di Mersing, pembelian bangunan asrama 6 tingkat untuk pelajar di Kaherah, Mesir dan pemberian bantuan kepada umat Islam hasil sewaan bangunan wakaf dan lain-lain projek Wakaf.

4. Penerbitan Pelan Takaful Wakaf oleh Syarikat Takaful Malaysia Berhad yang menggabungkan produk Takaful di bawah kontrak Mudharabah dengan wakaf tunai sejak tahun 1997. Produk ini telah memberi manfaat kepada golongan petani, nelayan dan orang kurang upaya (OKU) melalui penerima wakaf dinamakan iaitu Yayasan Di Raja Sultan Mizan Zainal Abidin, anak yatim dan orang tua di beberapa rumah anak yatim dan orang tua, pelajar-pelajar kurang bernasib baik di beberapa buah institusi pendidikan dan lain-lain lagi.

5. Pengenalan Sistem Maklumat Wakaf Berasaskan Sistem Maklumat Geografi (GISWAQF) iaitu mengambil manfaat daripada Geographic Information System (GIS) sebagaimana dicadangkan oleh sekumpulan penyelidik daripada Pusat Kajian Harta Tanah (CRES), Universiti Teknologi Malaysia. Usaha ini adalah untuk membolehkan tanah-tanah wakaf diuruskan dengan lebih efisien oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan.

KESIMPULAN

Kesimpulannya institusi wakaf dan harta wakaf sebagai sumber ekonomi “terpendam” umat Islam yang perlu dieksploitasi dengan sebaiknya bagi mendapatkan manfaat yang sebaiknya bagi umat Islam. Memandangkan menyimpan modal tanpa digunakan, keep the capital idle suatu yang dilarang oleh Islam, maka usaha-usaha di bawah adalah perlu digiatkan untuk mengembalikan fungsi wakaf:

1. Memperkemaskan pentadbiran harta wakaf,
2. Menyelaraskan perundangan berkaitan dengan hal ehwal wakaf,
3. Memantapkan kaedah dan prosedur mewakafkan tanah,
4. Membangunkan sistem maklumat tanah berasaskan GIS,
5. Melibatkan pembangunan tanah wakaf dalam perancangan dan pembangunan negeri, wilayah dan kerajaan tempatan,
6. Membangunkan harta wakaf dengan kaedah inovatif istibdal; dan
7. Menyedarkan masyarakat tentang wakaf dan potensinya.

Dengan perancangan, pengurusan dan perlaksanaan saranan-saranan ini, tidak mustahil wakaf akan menjadi sumber baru kepada kekuatan ekonomi umat Islam.

………………………………….
Hj Mohd Nazri Chik sekarang bertugas di Unit Pengurusan Risiko Pematuhan Syariah, Bahagian Pengurusan Risiko, Bank Islam Malaysia Berhad. Antara tugas-tugas penting beliau adalah untuk membantu mengenal pasti isu-isu operasi, produk dan servis perbankan yang berkaitan dengan pengurusan risiko pematuhan Syariah dan membantu pihak pengurusan bank untuk memastikan supaya segala aktiviti perbankan Bank adalah mematuhi kehendak-kehendak Syariah. Beliau boleh dihubungi di mnazric@bankislam.com.my

About these ads

23 Responses

  1. Saya ikut membaca sekaligus mengkopi makalah tentang wakaf di atas. thanks!

  2. artikel yang menarik, kalau boleh huraikan lebih sedikit mengenai wakaf tunai, sebagaimana yang diamalkan oleh Indonesia sekarang

  3. Can i have your suggestion and opinion on
    ” Integrating Islamic Financial Instrument with Awqaf”

  4. Askm, artikel yang dipaparkan merupakan rencana yang menarik dan jika dirancang dengan teliti setiap tanah wakaf akan memberi manfaat yang banyak kepada pembangunan ummah.

  5. salam saudara.saya copy awaknyer artikel yer..tapi saya recognize la awak dlm assgmnt saya..minta maaf amik point awak..terima kasih, hanya Allah yg mmpu mmbalas

  6. salam… terima kasih kerana menyiarkan artikel di atas. ia amt memberi manfaat kepada saya. boleh saya tahu lebih lanjut tentang wakaf tunai..?? ia amat penting bagi saya…

  7. aS.KUM SYEIKH,

    Boleh memberi penerangan yang detail mengenai wakaf buku…Saya berminat untuk kembangkan wakaf buku sebagai satu cara mendorong umat islam memahami dan memganbil cara ini seabagi satu cara jihad ilmu sambil beramal.
    Saya telah mencubanya di sebuah masjid dengan mendorong ahli kariah menyumbang buku-buku yg berkualiti atau menymbang jumlah tertentu bagi tajuk buku-buku yg hendak dibeli oleh masjid dengan bayaran yang mampu dibayar oleh ahli. Adakah ini mengikut syarat wakaf dlm islam iaitu manafaatkan dari buku tersebut kepada umat.
    Syukran

  8. saya nak tanya mengenai sumber-sumber wakaf yang diperolehi. ada tak badan-badan yang lain membantu untuk menaikan hartanah wakaf di malaysia. contohnya macam MARA, AMANAH RAYA BERHAD, TAKAFUL ATAU SEBALIKNYA.

  9. assalamualaikum,ustaz,saya pelajar undang2syariah,saya mengalami ketidak jelasan tentang isu istidbal hartawakaf dan wakaf musyatrak mengikut prinsip siyasah syariah…apakah kaitan wakaf musyatark dan prinsip istidbal itu sendiri???

  10. salam ya ustaz…..iza nk tanya mengenai istibdal harta wakaf dan harta musytarak..mengikut prinsip siasah asyariah…dlm kfahaman sy, istibdal tu pertukrn hrta atau hrta yg lbh tnggi atau sma nilai.but antara harta wakaf dan harta musytarak, apa yg perlu sy kaitkan…sbb perlu mnurut siasah syariah..ustaz, bahaimana pulak saham wakaf tu nk distibdalkan????tak jelas la..n, saham wakaf tu8 bkn bbntuk barang kn? tp ia sprt nilai..btul ke? em…kliru la sy…. moga ustaz dpt mmbntu dlm msalah yg bermain di minda ni,.,.,,,syukran laka ya ustaz… =) salam ilaika

  11. (Keuntungan yang diperoleh akan dikongsi bersama berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui manakala kerugian akan ditanggung berdasarkan nisbah sumbangan modal. ) Adakah konsep ini sama untuk harta musytarak ? dlm prinsip siasah syariah

  12. alhamdulillah.terima kasih…saya mmg mencari maklumat ttg pelaksanaan wakaf di malaysia dan masalah2nya

  13. salam..
    andaikata kita wakaf harta ibu bapa kita, siapakah yang akan mndapat pahala wakaf?

  14. Salam. Ustaz Mohd Nazri Chik boleh dihubungi di http://www.nazrichik.com

  15. assalamualaikum w.b.t….sy nak mntk maaf sbb sy copy buah fkran ustz,tp insya-Allah bukn utk tjuan lain….syukran jazilan ustz…Allah je dpt blasnye….artcle nie byk mmbantu sy…thanks!!!!

  16. assalamualaikum.saya ingin bertanyakan tentang ZAKAT DAN PERANANNYA DALAM PEMBANGUNAN UMMAH

  17. adakah wakaf dan pemilikan dalam islam adalah perkara yang sama?

  18. Assalamualaikum.
    Minta izin untuk ambil fakta dalam artikel ini.
    Hanya Allah yang mampu membalas jua.

  19. salam.
    saya copy artikel ini untuk rujukan saya
    mintak ustaz halalkan
    syukran

  20. salam, saaya juga mntak izin untuk ambil artkel nie tuk asgmnt sya….tq

  21. Assalamualaikum Ustz, saya mempunyai 3 ekar tanah dan bercadang untuk diwakafkan kepada pertubuhan kebajikan Islam dan dibangunkan sebagai pusat anak yatim dan warga emas. Mohon mendapat pandangan ustz, adakah cara ini mengikut hukum.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: