KehendakNya dia pergi

9 Jun 2007 ( Sabtu)

Malam

Di dalam bas Transnasional, perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Kuantan
…………………

Kerusi 6C, saya bersandar keletihan. Kelas DAIJ yang selesai saya hadiri pada hari itu begitu memenatkan. Apatah lagi disertakan dengan kejutan demi kejutan tentang ujian dan peperiksaan yang akan saya hadapi. 3 minggu saya tidak menghadiri kelas kerana berkursus dan sekembalinya pula ke kelas, perubahan jadual pula menanti. Rata-rata sahabat saya terkejut dengan tarikh peperiksaan yang diawalkan serta beberapa ujian yang diadakan pada saat-saat terakhir.

Sambil mengelamun dan cuba membebaskan rasa keletihan, akal saya pantas merancang langkah-langkah yang perlu saya ambil dalam menghadapi situasi ini. Saya perlu mengambil cuti untuk menyiapkan tugasan-tugasan yang perlu diselesaikan.

Tiba-tiba handphone saya berbunyi menandakan ada mesej yang baru tiba.

‘Abg Long baru meninggal dunia tadi’

Tertera aksara-aksara di skrin telefon saya. Bait-bait perkataan yang secara tiba-tiba menyentak segala urat nadi. Melumpuhkan seketika akal dan fikiran.

Inna Lillahi wa inna ilayhi roji’un.

Belum sempat saya membalas mesej dari adik saya, telefon saya berbunyi dan ternyata panggilan itu datangnya dari rumah di Jengka.

Mak mengkhabarkan berita tersebut dan saya hanya dapat menyatakan bahawa pada subuh keesokannya saya akan pulang. Perjalanan saya menerusi bas ke Kuantan masih jauh. Tiada apa yang dapat saya lakukan. Untuk pulang segera ke Jengka setibanya di Kuantan kelak tidak dapat saya lakukan.

Fikiran saya kini tertumpu pada keluarga di rumah. Terbayang wajah Abg Long yang baru dijemput pulang. Wajah kakak pula menyapa di pandangan. Disusuli wajah anak-anak mereka, juga anak-anak saudara saya.

Abg Long (Mohd Basir), pada usia 38 tahun ditakdirkan pergi jua.

Kakak (Rosnah), di usia 37 tahun kini kehilangan suami dan ketua keluarga.
Abg Nik ( Ahmad Saifuddin), baru menjangkau 13 tahun perlu tabah di sisi keluarga.
Nor ( Nurul Shahida), 12 tahun usianya perlu belajar lebih berdikari.
Nana ( Nurul Izzah Farhana ), kini berusia 7 tahun perlu

menerima kehilangan abah di sini.
Ain (Nurul Ain Syafiqah), 5 tahun dan pastinya masih kurang mengerti erti kehilangan.
………..
Perjalanan malam itu terasa lambat. Doa saya panjatkan di setiap perjalanan. Di sebalik jendela, pandangan saya lontarkan pada malam yang pekat. Langit yang suram. Tanpa saya sedari, manik-manik jernih gugur perlahan dari tubir mata.

Malam itu juga sukar untuk saya melelapkan mata. Serasa ingin segera berangkat pulang ke Jengka. Jam 2 pagi. 3 pagi. Mata saya masih terkebil-kebil memandang pada siling rumah. Walaupun diselubungi kegelapan, namun masih tidak mampu terlena walau sepicing cuma. Berperang dengan perasaan untuk segera pulang. Akhirnya saya akur bahawa usah dibiarkan keluarga pula bimbang jika saya bertolak pada lewat begini.

Kepadaa Allah saya berdoa agar dapat saya lelapkan mata agar perjalanan saya tika dinihari kelak selamat dan dipermudahkan.

Seusai solat Subuh, saya bertolak menuju ke Jengka.

Tiba di rumah, saya disambut dengan anak-anak saudara dan adik beradik yang lain. Semuanya kecuali Kakti yang berada di Tanjung Malim telah tiba.

Mengambil kesempatan yang ada, saya mendekati ibu di dapur. Lantas saya bertanya detik-detik Abg Long di saat hujung nyawanya.

“Mak tak ada masa tu, mak baru balik hospital. Lepas hantar kakak mak balik sekejap. Sampai kat rumah, Abg Nik bagitau mak ‘ Nenek, abah baru meninggal’,” ujar ibu.

“Mata Abg Nik merah, mak cuba sabarkan. Mak kata, dah sampai masa abah pergi. Lagipun dah lama abah sakit. Masa tu Nor, Nana dengan Ain ada kat bilik”, sambung ibu.

“Lepas tu Nor, Nana dengan Ain datang dan tanya ada apa. Mak tanya Abg Nik, tak

bagitau kat adik-adik ke? Abg Nik kata tak bagitau lagi. Lepas mak bagitau, Nor terus menangis”, kata ibu lagi dan air jernih mengalir di pipi ibu.

………….

Saat jenazah Abg Long selesai dimandikan dan dikafankan, saya renung pada wajah yang tidak lagi bernyawa. Kaku. Perasaan sebak semakin terasa.

Abg Nik masih di luar. Ustaz Azizan, bapa mertua Bangli cuba menenangkan. Mata Abg Nik merah berkaca. Saya bertambah pilu. Saat jenazah disembahyangkan, kepiluan itu semakin menusuk kalbu.

Di tanah perkuburan Pusara Aman, ahli-ahli keluarga, saudara mara dan jiran sekampung sudah sedia menunggu. Setibanya saya, lantas menuju ke arah kakak yang sedang menahan esak tangis. Adik saya, Ani cuba menenangkan.

Mata tercari-cari di mana anak-anak saudara saya. Terpaku pandangan saya pada 4 batang tubuh yang berdiri berhampiran kubur yang baru digali. Mata Nor sudah membengkak, esak tangisnya tanpa suara tidak berhenti. Nana dan Ain, berdiri di sisi. Jari jemari memegang pagar yang memisahkan dengan kubur pada jarak 1 meter. Redup pada pandangan. Hanya menyaksikan jasad abah mereka disemadikan. Ibu juga bergenang air mata.

Sesekali pandangan saya bertembung pada Nana dan Ain, dan sedaya upaya saya cuba larikan pandangan. Saya sedar acapkali wajah mereka cuba mengintai mencari saya. Luluh hati saya memandang mereka.

Saat talkin dibaca, kesunyian dan kesedihan menyelubungi di kamar atma. Patah demi patah kata-kata dihayati. Keinsafan akan tibanya jua saat pertemuan dengan Ilahi. Hari ini Abg Long pergi. Kami yang masih di sini akan menyusul jua nanti.

…………..

Di rumah, saya melayani anak-anak buah. Ain tidak lekang dari berada di ribaan. Nana sentiasa di sisi mengajak berbicara.

“Acik Icam, nenek kata dulu Acik Icam pun ada abah masa kecil. Lepas tu abah Acik Icam meninggal. Betul ke?” Tanpa saya duga soalan itu yang ditanya oleh Nana.

“Ha ah. Dulu Acik Icam pun ada abah. Abah Acik Icam meninggal masa Acik Icam 4 tahun”, jawab saya.

“Tadi masa kat kubur, Ain nampak mata Acik Icam merah. Kan kakak Nana kan?” Ain pula bersuara.

Kelu lidah saya untuk berkata.
………………………………………………

8 Responses

  1. semoga abg long sdr ditempatkn ditempat orang2 soleh…

    daripadaNya kita datang kepadanya kita kembali..

  2. inna lillahi wa inna ilaihi rojiun.
    alfatihah.

  3. Inna lillahi a inna ilahi rojiun.
    Alfatihah

  4. Sy nk ucapkan takziah wat hisham sekeluarga..
    bersabar ye..Moga-moga roh abg long kamu d tempatkn d
    tempat org yg beriman..amin..
    cite sy pn lebih sedih lagi. tapi
    sy mls nk cite nnti banjir kuala lumpur ni..
    sy keseorangan dlm menjalani kehidupan ini
    tanpa ibubapa & adik-beradik. sedara-mara jauh.
    Prinsip sy ialah terus berusaha dan berusaha mengubah nasib diri menjadi insan yg berguna &berjaya. kalo tak diri sendiri yg mengubah siapa lagi kan? tak begitu?TQ

  5. darinNya kita datang kepadaNya kita kembali..
    semoga roh abang hisham ditmpatkan dikalangan orang-orang yg soleh..
    moga sabar dan tabah sentiasa mengiring setiap langkah kehidupan..

  6. darinNya kita datang kepadaNya kita kembali..

    semoga roh abang hisham ditmpatkan dikalangan orang-orang yg soleh..

    moga sabar dan tabah sentiasa mengiring setiap langkah kehidupan..

  7. Salam…..

    Syam……Takziah.

    Bersabar….sahaja.

    Hidup Mati Kita kepada Allah jua………

    Pasti ada hikmah disebalik apa yang berlaku…………..Insya-Allah.

  8. salam takziah diucapkan, maaf terlewat baca berita semoga sabar dan tabah menghadapai ujuian dari Allah S.W.T.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: