Gembirakan mereka

c0050.jpg

“Raya tahun ni ayah aku belikan baju warna hijau”, cerita Sulaiman. Terpancar kegembiraan di wajahnya.

“Eh, sama la dengan aku”, balas Mustadza, anak pengurus Felda.
“Baru beli semalam dekat Temerloh”, sambungnya lagi.

Sudah masuk hari ke 18 Ramadhan. Masing-masing bercerita tentang persiapan menyambut Aidilfitri.

Kelas agama waktu petang memang tidak berjalan seperti biasa di bulan Ramadhan.

“Saya baru nak beli petang ini”, Yazid pula menambah, merancakkan perbualan.

Saya turut sama di dalam kelompok tersebut. Ustazah belum masuk, jadi peluang diambil untuk bersembang. Sambil menongkat dagu di atas meja, mata memandang ke pintu kelas. 3 murid perempuan baru pulang dari tandas. Setiap seorang memegang tuala ‘Good Morning’ yang basah.

Di sudut sebelah kiri, kelihatan murid-murid perempuan berbual-bual sambil mengelap muka. Juga dengan tuala ‘Good Morning’. Aktiviti biasa pada bulan puasa.

Di belakang kelas, terdapat 2 kelompok yang sedang bermain Batu Seremban. Juga aktiviti biasa pada bulan puasa. Bagi mereka yang tidak tahu hendak membuat apa, selalunya tidur adalah pilihan mereka yang terbaik. Mungkin mengharapkan kelas segera tamat.

“Sham, baju engkau warna apa pulak?”, tiba- tiba Subkhi bertanya pada saya.

“Hm… belum beli lagi”, perlahan saya menjawab.

…..

“Mak, surat bantuan tak sampai lagi ke?”, tanya saya pada ibu yang sedang membuat biskut raya di dapur. Kakak dan kakngah pula sedang membuat kuih siput.

Agar-agar kering di dalam talam saya balik-balikkan.

“Belum lagi, mungkin esok kot”, balas ibu.

…………….

Itu di antara kisah saya dahulu. Setiap tahun di bulan Ramadhan ada sesuatu yang saya nanti-nantikan. Begitu juga kakak, abang dan adik saya. Surat yang menjemput anak-anak yatim ke majlis pemberian sumbangan untuk hari raya.

Jumlahnya seingat saya RM30 seorang. Berbekalkan duit itulah kami dapat membeli selipar, baju dan seluar. Saya tidak pernah membeli kasut raya.

Mengenangkan hari raya, kadang kala apabila teringat kisah-kisah lama sering membuatkan saya sebak. Apatah lagi bila terdengar lagu raya yang agak menyentuh hati saya suatu tika dulu.

Siapakah yang sudi
Menghulurkan simpati
Kepada nasibku ini
Agar dapat kurasa
Nikmat di hari raya
Seperti insan yang lain….

Disertakan juga dengan kisah Rasulullah S.A.W yang sudah pasti kita selalu dengar. Kisah tentang sewaktu baginda hendak pergi menunaikan Solat Hari Raya. Di perjalanan baginta ternampak seorang kanak-kanak yang keseorangan. Lantas ditanya mengapa bersedih di hari kanak-kanak lain bergembira. Dijawabnya bahawa dia kini sudah menjadi anak yatim dan tidak mempunyai baju baru untuk dipakai pada hari raya. Akhirnya Rasulullah mempelawa kanak-kanak itu untuk menjadi anak kepada Muhammad, mempunyai kakak bernama Fatimah.

KITA DAN ANAK YATIM

Di bulan Ramadhan, anak-anak yatim di rumah-rumah anak yatim begitu bertuah. Dijemput ke sini sana untuk diraikan untuk majlis berbuka puasa. Dalam masa yang sama menerima sumbangan untuk hari raya.

Bagi anak-anak yatim yang lain, mungkin tidak berpeluang untuk diraikan. Apa yang lebih teruk apabila mereka ini langsung tidak dipedulikan. Tiada majlis untuk mereka. Juga yang lebih parah ialah tiada sumbangan untuk mereka.

Mereka juga manusia. Mereka juga ingin bergembira. Kita berpuasa, mereka juga sama. Kita bergembira di hari raya. Bagaimana dengan mereka?

Untuk menjalani kehidupan, jangan dilupa bahawa mereka bukan hanya hidup di bulan Ramadhan. Di bulan-bulan lain juga ada keperluan yang perlu dipenuhi.

Malang apabila anak-anak yatim hanya diraikan di bulan Ramadhan. Ramadhan dilihat signifikan dengan sumbangan untuk anak-anak yatim. Kemudian, mereka dilupakan lagi. Tunggulah Ramadhan akan datang, insya Allah mereka akan diingati kembali.

Perbelanjaan sekolah mereka bagaimana? Lebih dari itu, anak-anak yatim ini perlukan juga kasih dan sayang. Mendambakan perhatian. Menginginkan tunjuk ajar untuk menempuh masa depan.

long ago

Ketika baru bergelar anak yatim

Buat mereka yang pernah bergelar anak yatim di luar sana, kita pasti pernah merasai pahit maung, susah payah, pedih derita menjalani kehidupan. Mengorbankan keinginan kerana tidakmampuan.

Menyimpan rasa cemburu melihat teman gembira di sisi ibu ayah. Sedangkan kita menahan rasa rindu itu di sebalik raut wajah seribu rahsia. Menghantar rindu hati pada insan bergelar ayah di dalam doa dan di sisi pusara.

Kita yang pernah melewati saat itu, andai berkemampuan, bantulah anak-anak yatim yang lain kerana kita juga pernah seperti mereka.

Buat anak-anak yatim di luar sana, tabahkan hati. Teruslah berusaha. Bukankah Rasululah dilahirkan sebagai anak yatim?

Malah kehilangan ibu pula ketika berusia 6 tahun.

Gelaran anak yatim bukanlah penghalang untuk meraih kejayaan. Percayalah kejayaan yang diperolehi kelak akan terasa manisnya.

Salam Ramadhan.
Kongsilah kegembiraan bersama mereka.

Hisham Ahmad

8 Responses

  1. ” Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, kaum kerabat, ANAK-ANAK YATIM, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan yang jauh……” (an-Nisa’:36)

    Semalam berpeluang untuk bersama-sama dengan 100 orang anak-anak yatim Darul Kifayah, Jalan Ipoh untuk majlis berbuka puasa anjuran Takaful Malaysia.

    Entri ilmuone kali ini benar-benar membuat hati saya tersentuh. Kerana saya tidak berada di tempat itu. Dan semalam, menatap wajah-wajah bersih adik2 Darul Kifayah, hati saya jadi lunak. Lunak bila melihat betapa tabahnya mereka menerima takdir sebuah ‘kehilangan’.

    Semoga Allah terus mengurniakan ketabahan kepada mereka, untuk membesar dan dewasa dalam iman, walaupun kurang perhatian, kasih-sayang dan juga bantuan..

    dan semoga umat Islam terus menghulur bantuan kepada mereka ini, bukan hanya di semusim Ramadhan, tapi berterusan.

  2. Moga Allah merahmati sekalian anak yatim. Yatim tidak bermakna kita putus harap. Enta telah buktikannya syeikh. Tahniah atas kejayaan enta sekarang sbg pegawai Sulh

  3. terima kasih ustaz….

  4. salam,

    ujian… datang bertamu.. untuk menguji sejauh mana imanmu.. semoga Allah senantiasa merahmati mereka yang sham sayangi.

    kalau boleh stream nasyid bawah ni menarik jugak untuk entry ni..

    wassalam

  5. Saya dah masukkan video klip tu… terima kasih banyak-banyak..

  6. salam..sorry,lari topic sket..if belum ada yg inform,nk smpikan berita sahabat kita NORHUDA MAHFUZ (4/5 IR-TAHAP) dah kembali ke rahmatullah semalam (7 Oct 07).xcident di highway LPT dkt chenor..
    al-fatihah..

  7. Inna lillahi wa inna ilayhi roji’un… al fatihah.

  8. […] adalah artikel yang saya terbitkan pada Ramadhan 1428, iaitu pada tahun lepas di sini. […]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: