Status yang kita banggakan

b02192.jpg

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Walau di mana kita berada, bumi kita adalah satu, langit yang menaungi kita juga adalah satu. Tidak mungkin dapat kita cari bumi yang lain. Terlalu mustahil kita mencari teduhnya langit yang lain untuk menahan dari terik sinar mentari.

Di sinilah bumi kita. Tempat tinggal sementara kita. Di sini juga ada peranan kita. Kita di sini ada tujuannya kerana Allah tidak menjadikan kita hanya untuk tujuan yang sia-sia.

Allah telah memberi peringatan tentang itu melalui QalamNya. Continue reading

Advertisements

Wakaf dan Peranannya dalam Pembangunan Ummah

WAKAF DAN PERANANNYA DALAM PEMBANGUNAN UMMAH

Oleh: Hj. Mohd Nazri Chik

Institusi wakaf semakin diberi perhatian dewasa ini lantaran kesedaran tentang kepentingannya sebagai salah satu pemangkin pembangunan ekonomi umat Islam.

KONSEP WAKAF

Terminologi wakaf berasal daripada perkataan Arab “waqafa” yang bermaksud berhenti, menegah dan menahan. Dari segi istilah, wakaf telah diberikan beberapa takrif seperti:

1. Syed Sabiq (Fiqh al-Sunnah) – Wakaf ialah menahan harta dan memberikan manfaatnya pada jalan Allah.

2. Sahiban Abu Hanifah; Abu Yusuf dan Muhammad bin Hassan – Wakaf ialah menahan ‘ain mawquf (benda) sebagai milik Allah atau pada hukum milik Allah dan mensedekahkan manfaatnya ke arah kebajikan dari mula hingga akhirnya.

3. Dr. Muhammad Al-Ahmad Abu Al-Nur, bekas Menteri Wakaf Mesir – Wakaf ialah harta atau hartanah yang ditahan oleh pemiliknya sekira-kira dapat menghalang penggunaannya dengan dijual atau dibeli ataupun diberikan sebagai pemberian dengan syarat dibelanjakan faedahnya atau keuntungannya atau hasil mahsulnya kepada orang yang ditentukan oleh pewakaf.

Takrif-takrif di atas telah menunjukkan kedudukan wakaf sebagai sebahagian daripada amalan yang dianjurkan oleh Syariah sebagaimana firman Allah SWT:

“Bandingan (pahala) orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, dan pada tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Allah melipatgandakan (pahala) bagi setiap yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas (Kurniaannya) lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: Ayat 261)

Daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila mati anak Adam, terputus amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kepadanya.”

(Hadith Riwayat Muslim)

Istilah wakaf adalah berkait dengan infaq, zakat dan sedeqah. Ia adalah termasuk dalam mafhum infaq yang disebut oleh Allah sebanyak 60 kali dalam al-Quran. Ketiga-tiga perkara ini bermaksud memindahkan sebahagian daripada segolongan umat Islam kepada mereka yang memerlukan. Namun, berbanding zakat yang diwajibkan ke atas umat Islam yang memenuhi syarat-syarat tertentu dan sedeqah yang menjadi sunat yang umum ke atas umat Islam; wakaf lebih bersifat pelengkap (complement) kepada kedua-dua perkara tersebut. Disamping itu, apa yang disumbangkan melalui zakat adalah tidak kekal dimana sumbangannya akan digunakan dalam bentuk hangus, sedangkan harta wakaf adalah berbentuk produktif iaitu kekal dan boleh dilaburkan dalam pelbagai bentuk untuk faedah masa hadapan.

SEJARAH PERLAKSANAAN WAKAF

Rasulullah SAW merupakan perintis kepada amalan wakaf berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Umar bin Syaibah daripada ‘Amr bin Sa’ad bin Mu’az yang bermaksud:

“Kami bertanya tentang wakaf yang terawal dalam Islam? Orang-orang Ansar mengatakan adalah wakaf Rasulullah SAW.”

(Hadith Riwayat Al-Syaukani)

Continue reading

Hakim boleh pertikai MC

Hakim boleh pertikai MC
Oleh Ziauddin Sharuddin- BH 21/1/2007

Elak peguam salah guna sijil sakit sebagai alasan tangguh perbicaraan kes

KUALA LUMPUR: Hakim yang sangsi terhadap peguam yang mengemukakan Sijil Sakit (MC) sebagai bukti untuk menangguhkan kes disaran memanggil doktor yang memberikan MC untuk memastikan peguam berkenaan tidak menipu.

Majlis Peguam Malaysia berpandangan pendekatan itu adalah antara kuasa mahkamah yang boleh digunakan bagi menangani peguam yang suka menangguh kes dengan memberikan pelbagai alasan, termasuk mengemukakan MC.

Pengerusinya, Yeo Yang Poh, berkata walaupun jarang berlaku dalam sejarah kehakiman negara, ada hakim di negara ini bertindak demikian.

Katanya, mahkamah berkuasa untuk menerima atau menolak permohonan peguam menangguhkan kes dengan meneliti alasan yang dikemukakan.

“Permohonan menangguhkan kes wajar diterima jika alasan yang peguam kemukakan adalah munasabah. Jika tidak munasabah, mahkamah boleh menolak permohonan itu. Ini adalah kuasa mahkamah.

“Tidak benar bahawa kes tertunggak berlaku kerana peguam meminta kes ditangguh. Peguam perlu akur jika mahkamah membuat keputusan supaya kes diteruskan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar, apabila diminta mengulas isu yang sama berpendapat, perkara itu perlu dilihat dari segi akar umbi, iaitu untuk memastikan keadilan dicapai.

Katanya, penangguhan di Mahkamah Syariah dibenarkan jika dokumen yang diperlukan tidak cukup atau saksi penting tidak hadir kerana dikhuatiri keadilan dipinggirkan apabila kes diteruskan semata-mata mahu segera diselesaikan.

“Permohonan penangguhan perlu dipertimbangkan dengan adil. Jika dokumen tidak cukup, hakim perlu meneliti usaha untuk mendapatkan dokumen itu. Kalau sakit sikit dan akal boleh berfungsi, peguam sepatutnya datang. Hanya apabila sakit teruk, baru permohonan menangguhkan kes boleh diterima,’ katanya.

Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, menyalahkan peguam yang meminta penangguhan kes sebagai antara faktor bilangan perbicaraan tertunggak masih tinggi walaupun kerajaan berusaha mengurangkannya.

Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, pula dilaporkan berkata mahkamah perlu menjalankan tugas supaya tertuduh mendapat keadilan dan tidak semesti penangguhan berpunca dari mahkamah, malah pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mengulas dakwaan bahawa peguam menangguhkan kes sebagai strategi untuk melengah-lengahkan proses perbicaraan dan menyusahkan pihak lawan, Yeo berkata, mahkamah boleh mengambil tindakan jika terbukti peguam bertindak demikian.

Selain mahkamah, katanya Majlis Peguam boleh bertindak terhadap ahlinya yang melakukan perbuatan itu dengan syarat ada bukti.

“Katakan seorang peguam mengemukakan MC pada jam 10 pagi dan pada jam 12 tengah hari dia menghadiri satu kes lain atau berada pada satu majlis makan tengah hari di sebuah hotel. Berdasarkan bukti itu, dia boleh dikenakan tindakan.

Zainul Rijal tidak menolak kemungkinan ada peguam bertindak begitu, tetapi peguam setiap pihak perlu lebih peka dengan permohonan penangguhan.

“Peguam perlu membantah permohonan peguam satu pihak lagi jika alasan yang dikemukakan tidak wajar atau sengaja menyalahgunakan prosedur mahkamah. Dia tidak boleh menyalahkan mahkamah atau peguam lawan jika hanya berdiam diri,” katanya.

Bagaimanapun, katanya ada banyak faktor lain perlu diambil kira seperti mahkamah sendiri yang menangguhkan kes apabila hakim berkursus atau cuti sakit.

Selain itu, katanya ada faktor di luar kawalan peguam, terutama membabitkan anak guam yang tidak bekerjasama seperti tidak datang untuk membincangkan kesnya atau tidak datang pada hari perbicaraan.

Yeo berpendapat faktor lebih penting yang menyebabkan kes tertunggak berlaku kerana masalah kekurangan sumber manusia dalam perkhidmatan kehakiman, meliputi Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret.

Katanya, kekurangan kakitangan bukan hanya membabitkan peringkat hakim, majistret dan pendaftar mahkamah, tetapi meliputi kakitangan sokongan seperti jurubahasa, sedangkan kes sivil dan jenayah semakin bertambah.

Walaupun mengakui kerajaan berusaha menambah kakitangan perkhidmatan kehakiman, Yeo berpendapat pertambahan itu belum mencukupi.

Lebai yang dikisahkan Malang

Cerita rakyat memang asyik untuk didengari. Saya lebih akrab dengan kisah ‘rakyat nusantara’ berbanding kisah-kisah ‘rakyat benggali putih’. Saya sanggup menyorokkan buku perpustakaan sekolah rendah yang baru tiba, semata-mata untuk memastikan saya menjadi orang pertama yang meminjamnya memandangkan kuota untuk meminjam tidak pernah cukup. Makanya, terpaksalah saya membuat giliran buku-buku untuk dipinjam dan bagi memastikan tidak terlepas ke tangan murid-murid lain, saya sembunyikan di celah-celah buku yang tidak popular!

Intimnya saya dengan perpustakaan hingga menimbulkan satu persepsi bahawa saya adalah Pustakawan sedangkan saya tidak dilantik untuk jawatan tersebut.. saya hanya Pengawas SPBT

Antara yang ingin saya nukilkan dan bicarakan ialah kisah LEBAI MALANG.

Dikatakan Lebai Mail tinggal di tepi sebatang sungai.(Saya namakan Lebai ini dengan nama Lebai mail kerana tidak pasti nama sebenar. Lebai Malang hanya sandaran kepada peristiwa yang terjadi kepada lebai tersebut)

Alkisah tercatat pada suatu hari. Lebai Mail dijemput oleh dua orang penduduk kampung berhampiran untuk hadir ke majlis kenduri. Seorang di hulu dan seorang di hilir. Di hulu sajiannya ialah daging kambing. Di hilir pula disajikan ayam sebagai jamuan.

Setelah membuat perkiraan dan keuntungan perut untuk memilih hidangan yang bertepatan, maka direncanakan dalam jadual Lebai Mail untuk menghadiri kenduri di hulu terlebih dahulu kerana hidangannya adalah kambing. Sajian ayam dikemudiannya kerana tahap seleranya lebih rendah berbanding keinginan untuk melampiaskan selera dengan daging kambing.

Maka, bersusah payah Lebai Mail mengharungi arus menuju ke hulu. Kerana arusnya bertentangan, tempoh masa juga berpanjangan untuk tiba ke destinasi. Ternyata langkah Lebai Mail adalah langkah kiri. Kambing yang diidam-idamkan telah selesai dinikmati penduduk kampung. Walau terasa terkilan, Lebai Mail masih meletakkan harapan untuk menikmati jamuan di hilir. Agar peruntukan belanjawan kos makan pada hari itu dapat dikurangkan. Perjalanan ke hilir tidaklah sukar kerana selari dengan arus yang mengalir. Namun, kelewatan tetap berpihak pada Lebai Mail. Ayam juga telah tiada. Kasihan Lebai Mail. Kasihan. Lebai Mail yang malang. Lebai Malang.
….

Mungkin penilaian yang diberikan oleh khalayak adalah berdasarkan kepada pengajaran dalam kisah rakyat itu tadi. Namun saya melihat dari aspek lain. Saya melihat berdasarkan watak yang dipamerkan.

Lebai Mail adalah watak utama. Saya percaya gelaran Lebai bukan calang-calang diberikan. Apatah lagi apabila dikaitkan dengan zaman yang melatari kisah tersebut. Kisah Lebai Mail bukan kisah zaman sekarang. Kisahnya digambarkan berlaku pada dulu kala. Zaman di mana Tok Guru, Imam, Ustaz, Lebai dipandang mulia.

Kisah Lebai Mail pula dipaparkan kepada kita perwatakan seorang ‘lebai’ yang tamak. Tidak bijak membuat keputusan. Kesannya, gelaran LEBAI yang dianggap mulia digandingkan dengan kata sifat iaitu MALANG. Jadilah LEBAI MALANG. Gandingan subjek dan prediket yang langsung tidak bersesuaian.

Saya tertanya-tanya sendiri. Mengapa watak seorang lebai yang digunakan? Kenapa bukan watak orang kampung biasa? Adakah tika kisah ini diceriterakan ‘ghazwu fikri’ telah disebarkan? Kita hanya menerima kisah ‘keburukan’ mereka yang berorientasikan nilai-nilai Islam.

Minda kita di era kini disumbat dengan perkara-perkara ‘luar biasa’ hingga menjadi ‘biasa’ kepada kita. Orang Islam, lebih-lebih lagi berstatus ‘ustaz/ustazah’ tidak lagi digambarkan oleh media sebagai orang luar biasa. Mereka seperti orang biasa. Biasa ditangkap basah. Biasa berkelakuan tidak bermoral. Malah, orang biasa juga boleh diangkat menjadi ‘ustaz/ustazah’. Orang yang hanya ‘biasa’ dari segi kepatuhan dalam beragama.

Lebih malang lagi, individu yang berpendidikan dan seharusnya layak memegang status ‘ustaz/ustazah’ juga nampaknya amat bekerjasama. Sama-sama menjadikan ilmu agama hanya perkara biasa. Cemerlang tapi sumbang.

apabila 'lebai' take FIRE

Jalan di hadapan..

membesarlah dalam dakapan kasih sayang AllahSetiap hari akan lahir generasi baru. Mereka bakal meneruskan perjuangan di muka bumi. Mewarisi apa yang ditinggalkan. Mendepani apa yang tersedia untuk mereka. Tinggalan generasi terdahulu. Hasil usaha kita jua.

Bayi yang baru berkenalan dengan dunia ini terlalu bersih. Bersih dari dosa. Bersih dari hasad dengki; cantas mencantas; fitnah memfitnah. Biarpun ada dilahirkan tanpa ikatan sah ‘ibu’ dan ‘bapanya’. Walaupun dicampak di dalam longkang. Terbiar di tepi masjid. Walau luka digigit anjing. Bayi ini tetap bersih.

Apa yang kita sediakan untuk bayi-bayi ini? Anak-anak kita. Penyambung zuriat keturunan kita. Ternyata, hamparan yang kita sediakan tidak sehijau mana. Tidak menenangkan. Bahkan menyesakkan. Kusam warnanya. Kita sediakan mereka dengan duri yang menyakitkan.

Budaya beracun kita semai. Rasuah, gila pangkat dan harta, skinhead, gothik, puja artis, love world, agama sekadar adat, seks bebas, cemerlang pendidikan tapi sumbang amalan.
…………..

Sesekali pulang ke desa. Ingin lari dari asakan kota. Aduh, desa juga berubah rupa. Hilang nilai akhlak. Hilang sudah budaya desa. Desa yang permai. Damai. Walau rupa kekal menghijau, angin lembut sesekali mengelus setiap wajah, masih kedengaran suara-suara alam, hakikatnya nilai dalaman sudah hampir hilang.

Kembali ke hutan batu. Fikiran bertambah sesak. Nilai-nilai murni telah lama dikorbankan. Menjadi mangsa korban untuk meraih impian bernama KEMAJUAN. Maju menurut lensa mereka yang tidak bertuhankan Allah S.W.T. yang akan menghisab setiap amalan.
………………..

Kasihan. Kasihan pada bayi-bayi kecil ini. Lihatlah ‘orang-orang tua’ mereka. Bergelumang dengan maksiat. Runtuh rumahtangga. Lupa pada tanggungjawab. Lupa pada halal dan haram. Kemudi agama sudah patah. Layar sudah carik. Hilang arah perjalanan. Perjalanan yang dinamakan kehidupan.

Lihatlah ‘abang dan kakak’ mereka. Berpeleseran entah ke mana. Berpakaian sudah tidak sempurna. Berlumba-lumba memenuhi setiap konsert hiburan. Bergotong-royong membingitkan kompleks jualan. Lupa pada batas pergaulan. Lupa pada nilai agama. Malah ada yang sanggup menukar iktikad Islam sebagai agama.
……………….

Bayi-bayi ini merintih. Didiklah kami dengan kesempurnaan agama. Kenalkan kami musuh kami sebenarnya. Jangan jadikan kami umpama Yahudi dan Nasrani. Bentuklah kami menjadi Mukmin sejati. Persiapkan kami untuk dihantar ke masa depan yang mencabar. Ketika ini suasana amat tercabar. Apatah lagi masa depan yang lebih teramat mencabar.
……………………

Hati ini berbicara:
Semoga akan terus wujud anak-anak kecil yang sedia menggalas Al-Quran yang suci. Membaca Kalam Allah malam, siang, petang, pagi, juga dinihari. Lantas mengalir siramannya ke dalam hati. Membenihkan rasa cinta kepada Ilahi. Mendukung seruan suci. Setia pada ajaran agama yang murni. Itulah anak-anak kita. Anak-anak kesayangan kita.

..setitis dari selaut pendapat…

Sebagaimana yang saya nyatakan sebelum ini, saya ingin memberikan sedikit pandangan berkaitan dengan isu murtad dan ancaman syariah yang berlegar di sekitaran kita. Faham yang menjurus ke arah KEBIADABAN dan KURANG AJAR tanpa memikirkan sentimen orang Islam. Sebenarnya banyak pandangan dan ulasan yang boleh diperoleh jika kita rajin untuk menyelongkar dan berusaha mendapatkan maklumat berkaitan. Oleh itu, saya tidak bercadang untuk mengulas dengan lebih mendalam.

Isu Islam dan Syariah nampaknya begitu menarik minat untuk dibincangkan oleh merka yang bukan ‘ahliyyah’ untuk membicarakannya. Tafsiran dan ulasan mereka dibuat hanya berpaksikan logik dan akal semata. Bukan sekadar itu, non Muslim juga semakin berani untuk campurtangan dalam hal ehwal Islam. Ini menunjukkan kebiadaban mereka yang boleh dilihat secara terang-terangan.

Kita berasa marah apabila orang bukan islam bertindak sebegini. Urusan agama islam mula hendak dicampuri, sedangkan kita tidak pernah untuk mencampuri urusan agama mereka. Kita banyak bertolak ansur dan kita membenarkan mereka untuk hadir di serambi rumah kita. Namun nampaknya keinginan mereka lebih tinggi. Mereka ingin bermaharajalela di tengah rumah. Dan mungkin ingin menguasai rumah kita!!

Dan kepada mereka yang menjaja agar murtad dibenarkan atas dasar hak asasi, sebenarnya di sisi islam ternyata mereka ini telah mempromosi SATU JENAYAH kerana di dalam ISLAM, MURTAD merupakan JENAYAH dan nampaknya negara kita semakin terbuka untuk membenarkan JENAYAH diperjuangkan!!!

Catatan: Ceramah SYARIAH DICABAR dan ISU MURTAD di Kuantan..

Ini merupakan di antara sedikit catatan ketika menghadiri Ceramah/taklimat pertahankan Syariah serta isu murtad, bertempat di dewan JAIP malam tadi. Sedikit kekesalan kerana saya tidak dapat merakamkan dalam bentuk foto.Catatan:

Kehadiran hadirin bermula sebelum waktu isyak. Menyaksikan limpahan umat manusia bagi menunggu majlis dimulakan. Di perkarangan dewan, tandatangan dikutip bagi mendapatkan sokongan. Risalah serta brosur turut diedarkan pegawai yang bertugas.

9.30 mlm ceramah/ taklimat dimulakan oleh Encik Abd rahim, peguam dari KL dan merupakan di antara 8 orang yang menduduki kedudukan tinggi di dalam PEMBELA. Antara isi ceramah/ diskusi:

  1. Umat Islam tidak seharusnya hanya menjadi ‘lalat’ sahaja yang hanya pandai berbicara tanpa sebarang tindakan di ambil. Sebaliknya, perlu menjadi ‘ lebah’ yang ‘menyengat’ kerana pihak yang bongkak ini semakin biadab dalam mengganggu sistem dan agama Islam.
  2. Menerangkan kes-kes murtad yang pernah berlaku serta menegaskan kepentingan kes lina Joy ini kerana implikasinya terlalu besar sekiranya keputusan memihak kepada Lina Joy.
  3. Menerangkan kejengkelan terhadap Bar Council yang memihak kepada Lina Joy atas nama human rights dan menggunakan platform BC itu sendiri sedangkan 43% daripada ahli BC merupakan orang Islam. BC sebagai badan berkanun seharusnya bertindak berkecuali namun apa yang berlaku, BC menjadi penyokong kepada kes ini. Lantas atas inisiatif maka tertubuhlah PEMBELA yang diketuai Zainur Zakaria untuk menunjukkan pendirian atas kes ini.

10.30 mlm: Sesi ceramah dan penerangan daripada Tuan Haji Azmi Abd Hamid, pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (TERAS). Dalam sesi ini beliau banyak menekankan betapa biadab dan bongkaknya mereka yang memperjuangkan hak asasi ini. Bahkan ditegaskan bahawa rentetan yang berlaku merupakan penerusan Perang Salib yang dilancarkan puak kuffar sebagaimana yang dikatakan oleh George W.Bush pada Disember 2001 bahawa, bermula pada hari itu peperangan salib ini akan dihidupkan kembali bahkan penggunaan istilah2 seperti ‘axis of the evil’, ‘infinity justice’ dan beberapa istilah lain yang diambil daripada Bible ( bible hasil pindaan mereka sendiri) mula dihidupkan kembali. Ini menyaksikan betapa keinginan mereka untuk melancarkan perang ke atas umat dan agama Islam!

Bukan sekadar itu, usaha mereka ini telah bermula sejak sekian lama. Kita (umat Islam) sebahagiannya sedar tentang serangan-serangan yang dilakukan puak kuffar tetapi tidak kita pedulikan. Antara proses peperangan salib ini ialah dengan memastikan berlakunya ‘ifsadul akhlaq’ di kalangan umat islam. Seterusnya ‘runtuhnya cara pemikiran’. Ia membawa kepada ‘hilangnya jatidiri’. dan seterusnya sampai kepada peringkat ‘RIDDAH’ iaitu MURTAD.

bersambung untuk saya mengulas dan memberikan pendapat…..