Pulanglah anak rantau…

b0045.jpg

“Raya nanti balik tau,” pesan ibu ketika sedang menyapu sampah di halaman rumah. Saya setia berdiri bersama dengan kereta sorong. Mengutip daun-daun kering dan ranting-ranting pokok yang baru dipotong. Ketika itu tahun 1996.

“Jangan jadi macam tahun lepas pula. Semua beraya di sini. Isam sorang je takde”, sambung ibu lagi. Continue reading

Gembirakan mereka

c0050.jpg

“Raya tahun ni ayah aku belikan baju warna hijau”, cerita Sulaiman. Terpancar kegembiraan di wajahnya.

“Eh, sama la dengan aku”, balas Mustadza, anak pengurus Felda.
“Baru beli semalam dekat Temerloh”, sambungnya lagi.

Sudah masuk hari ke 18 Ramadhan. Masing-masing bercerita tentang persiapan menyambut Aidilfitri.

Kelas agama waktu petang memang tidak berjalan seperti biasa di bulan Ramadhan.

“Saya baru nak beli petang ini”, Yazid pula menambah, merancakkan perbualan. Continue reading

Salam Pertemuan, Doa Perpisahan

b0114.jpg

“Ustaz pun macam tu juga, bila ada masa terluang Ustaz akan hubungi kawan-kawan lama untuk jumpa dan makan. Masa tu banyak cerita-cerita lama akan keluar”, kata Ustaz Zamri pada saya lewat pertemuan 3 bulan lalu di Bandar Baru Bangi. Continue reading

Sudah lama rupanya…

c0191.jpg

 

Kata orang, kalau kita sedang memasak kari, kita tidak berapa sedar akan harumannya. Orang luar pula yang menikmati aromanya. Umpama seorang isteri yang sedang memasak, tiba-tiba suami yang di ruang tamu datang ke dapur lalu menegur akan keenakan aromanya yang sampai ke ruang tamu. Maknanya, kita selalunya sedar bila ada yang mengkhabarkan kepada kita atau kita sendiri perasan melalui suasana.

Continue reading

Usrah terakhir


Selesai solat Jumaat, solat jenazah didirikan. Isteri Pakcik Nanyan Arshad telah kembali ke Rahmatullah pada hari sebelumnya. Dalam kesesakan orang ramai, saya sempat mengerling pandangan pada Pakcik Nanyan. Berbaju melayu berwarna putih juga kopiah yang sama warna. Ternampak redup dipandangan. Selesai jenazah diiringi saya pulang ke rumah.

Di rumah ketika berbual bual dengan ibu, kisah lama disingkap kembali. Kisah yang tidak pernah saya ketahui sebelum ini. Kisah ayah saya yang dijemput pulang ke pangkuan Ilahi.

Selama ini saya hanya mengetahui ayah ‘pergi’ tanpa diduga. Dijemput ketika dalam lenanya.

Rupa-rupanya malam terakhir roh dan jasad ayah masih bersatu, pada malam itu jugalah usrah terakhir yang ayah hadiri. Malam itu di rumah Pakcik Nanyan usrah dijalankan. Pemergian ayah pada keesokannya memang tidak disangka oleh rakan-rakan ayah yang lain.

Kisah hidup ayah tidak banyak yang saya tahu. Hati saya terlalu berat untuk bertanya kepada ibu sejarah hidup ayah. Apa yang saya tahu, ayah aktif dalam jamaah. Ayah pernah menjadi ketua blok. Ayah adalah tukang gunting sambilan di Jengka. Ayah sering membawa saya ke masjid. Ayahlah bapa yang terbaik buat saya. Walau saya hanya sempat bersama ayah 4 tahun sahaja. Saya benar-benar rindukan ayah… Terlalu rindu.

Ya Allah, ampuni dosa-dosa ayahku. Tempatkan ayahku dikalangan hambaMu yang soleh. Terangilah pusara persemadian ayahku. Sampaikan doaku buat ayahku. Aku rindu untuk bertemu dengan ayahku. Moga di akhirat kelak aku dapat berkumpul bersama kekasihMu Nabi Muhammad S.A.W, para sahabat, para penghuni syurga, juga bersama ayahku serta seluruh keluargaku. Amin.

Segala yang telah kita tinggalkan

Dalam redup mendung petang saya termenung. Mengenangkan perjalananan kehidupan yang telah dilalui. Merancang kehidupan yang bakal dilalui. Mengimbas suatu tinggalan yang tetap bersemadi.
…………………………………………….


Sahabat-sahabat sezaman kelahiran..

Kita dibesarkan tidak dalam era teknologi kini. Kita tidak mengenali apa itu chatting. Apa itu internet. Kita hampir-hampir melalui perkara yang sama. Walau kita tidak pernah bersua namun saya yakin apa yang kita tinggalkan dalam kenangan adalah sama.

Kita pastinya tahu G.I.Joe, Thunderbird, Voltron, Kickers, Blue Blink, Tom Sawyer, Thundercats, He-Man. Harkuto dan Minami yang menjelma menjadi Ultraman Ace (Terulung) juga kita tidak pernah terlepas saksikan.

Maero Attack menjadi rancangan kegemaran kita. “Summersault berpusing” kita nanti-nantikan. Serve “Piring terbang” juga tidak terkecuali, apatah lagi teknik ‘bola berputar” dan “pertahanan bertiga”. Tidak lupa rancangan Miss Comet dan Oshin. Juga cerita Rin Hanikoma. Kita dihiburkan lagi dengan Flashman dan Maskman. Ada antara kita sanggup ponteng kelas kerana ingin menyaksikan rancangan ini. Kita terpegun dengan Kesatria Baja Hitam dan Gaban. Kita sakit hati Bayang Hitam menjadi watak jahat kerana kita penyokong Suria Perkasa Hitam! Kita benar-benar terpengaruh.

Kita amat gemar membeli DINGDANG dan TORA. Kita simpan duit belanja sekolah semata-mata untuk membelinya.

Siri PENDEKAR juga kita minati. Mungkin kita akan teringat watak Demang dan Musang Si Guntang. Kita mengenali kehidupan dunia persilatan yang bercampur aduk dengan seni kungfu.

Permainan kita amat menarik. Kita berkumpul bersama-sama. Tentu kita masih ingat pada galah panjang, nyorok-nyorok, baling selipar, tarik upih pinang, batu seremban, tepuk terup, teng teng (dekcok di Kelantan), nenek-nenek si bongkok tiga, pukul berapa datuk harimau, ram-ram pisang, tebang-tebang tebu.

Zaman persekolahan kita juga menarik. Kita beratur menunggu susu free. Kita pasti pernah bermain ‘Rebut Tiang”. Sesekali kita bertengkar dengan kawan-kawan. Kita selalu gementar bila doktor gigi datang ke sekolah. Kita seronok diberikan ubat gigi dan berus gigi percuma. Kita takut bila misi memanggil nama kita.

Kita dan sahabat-sahabat kita kini sudah meninggalkan zaman itu. Antara kita sudah terpisah. Kehidupan juga telah berubah. Ada yang berjawatan besar. Ada yang bergelar usahawan. Ada bekerja di sektor kerajaan dan swasta. Ada yang masih menyambung pengajian, ada yang telah berumahtangga. Ada juga yang telah pergi selamanya meninggalkan kita. Apa maknanya?

Ya, kita telah lama hidup di dunia. Umur kita kian bertambah. Suasana persekitaran juga telah banyak berubah. Kita tentu rindu zaman kanak-kanak kita.

Tanggungjawab kita semakin besar. Amanah yang ditanggung semakin berat untuk digalas. Apa yang utama, bagaimana dengan bekalan kita buat bertemu dengan Rabbul Jalil.

Hakikatnya masih banyak yang perlu kita lakukan seiring dengan meningkatnya usia kita.

——————————

Benarkah itu berlaku?

Telah berlalu exam semester 1. 27 Januari ini semester kedua akan bermula. Mengenangkan peperiksaan yang telah berlalu, juga kepada saat dan tika menimba ilmu, saya teringat kepada kisah yang pernah berlaku dan menjadikan saya bertanya sendiri. Betulkah ini perkara yang terjadi kepada saya?

….
Dewan SMKA TAHAP.
Peperiksaan SPM 1999
Subjek Prinsip Akaun.

Entah macam mana tugas membaca doa setiap kali sebelum peperiksaan dimulakan di dalam dewan (untuk kelas 5 IR), saya yang ditentukan untuk mengetuainya. Slotnya ada dua. Pertama ketika di ASPURA iaitu sebelum bergerak beramai-ramai ke dewan peperiksaan. Dan slot kedua ketika di dalam dewan.

Ketika di dalam dewan, dengan bersemangat saya berdiri dan diikuti sahabat-sahabat yang lain. Sekali lagi saya akan mengetuai bacaan doa.

Seberdirinya saya, dengan arahan dari minda kepada peti suara untuk menghasilkan bacaan yang lantang, maka bergemalah suara saya di dalam dewan. Bermula dengan doa pembukaan, seterusnya doa permudahkan dalam menjawab soalan peperiksaan hinggalah kepada satu doa yang begitu ‘sinonim’ ketika berkumpul di dewan makan bilamana menunggu azan maghrib berkumandang. Ya, peperiksaan kami dijalankan dalam bulan Ramadhan.

“Allahumma laka sumna, wa bika amanna wa ‘ala rizqika aftorna birahmatika Ya Arhamar Rahimin”
Continue reading