1429 H..

maal-hijrah-copy.jpg

Selamat Menyambut Tahun Baru 1429 H

Bagi saya ia istimewa. Tempoh masa yang hampir pada beberapa peristiwa. Saya menyambut hari kelahiran, kemudian tibanya tahun baru berdasarkan kalendar masihi. Diikuti dengan hari kelahiran saya lagi. Kini menyambut pula tahun baru menurut kalendar Hijriyyah.

( Tidak ramai seperti saya yang mempunyai dua tarikh lahir).

Continue reading

..sampai bila harus begini?

Kecewa. Itulah perkataan yang dapat saya gambarkan. Kecewa pada penggiat-penggiat industri nasyid. Bukan sekali dua persoalan jati diri penasyid serta mesejnya di bicarakan. Di dalam majalah ilmiah acapkali disuarakan. Bukan sekadar daripada penulis di dalam majalah itu sendiri, bahkan di dalam surat pembaca dan juga pendapat juga turut disentuh hal ini. Di dalam komuniti, portal dan forum usah dikira. Terlalu banyak. Permintaannya cuma satu… ‘kembalikan jati diri nasyid’.

Sebagai di antara golongan yang cuba memartabatkan nasyid ini, hati saya cukup terluka. Kita menginginkan kebaikan daripada industri nasyid. Namun, keazaman kita dikekang dek kepentingan-kepentingan tertentu. Maka jadilah irama nasyid kita cuba mengikut ekor ‘hiburan popular’ yang intipatinya ‘kurang’ mapan untuk membina modal insan yang didambakan.

Mengapa nasyid perlu menjadi pengikut? Mengapa tidak cuba menjadi pemimpin? Memimpin ‘hiburan popular’ agar lebih mengutamakan tuntutan syariat. Membisikkan kata-kata rindu padaNya. Mengadu dan merayu pengampunan dariNya. Menghamparkan panduan dan pedoman di dalam membantu diri menuju redhaNya. Menyingkap lembaran kisah dan pengajaran dari erti sejarah. Menyuburkan nilai keIslaman dalam diri yang dilihat kini terlalu kering dan kontang. Lantaran siramannya bukan dari sumber yang selayaknya.

Persoalannya, adakah seruan kita ini mendapat reaksi positif dari penggiat-penggiat nasyid? Bibir memang mudah melafazkan ‘kehadiran kami untuk berdakwah kepada masyarakat’. Itu kita akui kerana jika dibandingkan dengan saya sendiri, saya hanya mampu mensumbangkan lagu untuk didengarkan. Maka jadilah saya sendiri menjadi pendengar setia. Jadi, bila mana sudah bergelar ‘artis nasyid’ maka paparkanlah imej Islam yang sebenarnya. Jangan kerana sedikit kesilapan dari ‘artis nasyid’ yang sedikit tersasar, maka nasyid menjadi tohmahan. Sebagai penggiat nasyid, ruang untuk bermuhasabah perlu dilebihkan. Jangan dibiarkan muncul suara-suara yang mempertikaikan kehadiran ‘penasyid’ yang dilihat sekadar ruang untuk mencari populariti.

..saat yang dinanti..

Impian yang sekian lama disimpan termakbul kini. Tatkala ada sahabat-sahabat yang ingin memegang status wargakota, saya menginginkan sebuah kehidupan di negeri sendiri. Berbakti pada masyarakat di sini. Yang lebih utama, berada berhampiran bonda yang amat dikasihi. Sejenak saya teringat pada impian dan pengorbanan bonda yang pasti tidak akan saya biarkan luput dari memori….

Bonda mengimpikan saya menjadi seorang hafiz tatkala saya di sekolah rendah. Namun impian bonda tidak dapat saya penuhi. Kesempatan saya di Sekolah Kiblah hanya sebentar cuma, lantas menjadikan impian saya tidak kesampaian. Kekesalan itu terkadang datang menyelubungi.

Seawal pendaftaran saya di SMKA TAHAP, guru-guru meminta saya untuk menjadi pelajar aliran sains tulen berdasarkan pencapaian PMR saya. Namun bonda mengharapkan saya menjurus ke bidang agama, walaupun bonda tidak menyatakan secara jelas. Waktu itu terfikir untuk meneruskan impian saya menjadi seorang jurutera, namun akhirnya saya memilih aliran agama di samping prinsip akaun sebagai matapelajaran tambahan.

2 tahun dalam aliran agama dan prinsip akaun membenihkan keinginan untuk menjadi akauntan dan memiliki firma sendiri. Segalanya seperti berada di hadapan mata bilamana mendapat tawaran mengikuti program matrikulasi perakauanan. Tawaran ini akhirnya saya tolak kerana keinginan untuk mendalami bidang agama lebih hebat, berserta dengan impian bonda….
Kegembiraan bonda tidak dapat diselindungkan.

Tawaran ke APIUM Nilam Puri hampir saja saya menolaknya. Bebanan kewangan amat terasa. Malah bonda menitiskan air mata kerana bimbang tidak mampu untuk membiayai. Ingin sahaja saya bekerja dan menangguhkan hasrat meneruskan pengajian. Tetapi, azam dan keinginan bonda untuk memastikan saya dapat menjejakkan kaki ke menara gading terlalu kuat. Akhirnya saya mampu untuk mendaftarkan diri dan memagang status mahasiswa.

Sering sahaja masalah kewangan menjadi penghalang. Surat konvokesyen yang saya terima, cuba saya sembunyikan dari bonda dan keluarga. Masih ada hutang tertunggak yang belum dijelaskan memungkinkan saya tidak menyertai majlis tersebut. Akhirnya bonda tahu juga ketibaan surat tersebut. Saya nyatakan majlis tersebut tidak mengapa jika tidak saya sertai. Apa yang lebih utama ialah sekeping ijazah yanga akan saya dapatkan dengan hasil simpanan wang sendiri biarpun memakan masa yang agak lama. Bonda enggan membenarkan saya untuk tidak menghadiri konvokesyen tersebut. Bagi bonda, majlis itu juga penting dan bonda terlalu ingin melihat saya di atas pentas. Bersusah payah bonda mendapatkan bantuan untuk menampung jumlah wang yang telah berjaya saya miliki. Terlalu tulus hati bonda….

Tawaran pekerjaan yang saya terima begitu menggembirakan hati bonda. Untuk kesekian kalinya, air mata bonda tidak berhenti untuk membasahi pipi. Air mata kegembiraan dan kesyukuran. Apatah lagi saya akan bekerja di negeri sendiri. Malah dijanjikan berkhidmat di daerah sendiri. Pastinya saya akan kerap berada di sisi bonda. Namun saat itu belum tiba lagi kerana saya perlu dihantar ke ibu negeri.

Jarak antara Kuantan dan Jengka bukanlah jauh. Tidak sukar untuk saya pulang ke Jengka di setiap hujung minggu. Hakikatnya, ia tidak dapat saya lakukan buat masa ini. Tuntutan untuk menyambung pengajian setiap hujung minggu tidak memungkinkan saya pulang menemui bonda….

Walaupun dekat, namun masih terasa jauh….

..terimalah seadanya…

Terimalah seadanya’. Ungkapan yang sering saya dan juga para pembaca sekalian dengar dan baca.. Walaupun ringkas namun ia amat berharga untuk dihayati. Dalam konteks bicara saya di sini, saya ingin merujuk kepada ‘manusia perse’. Bukan dari segi objek mahupun nilaian harta.

‘Terimalah seadanya’. Namun disitu tidak bermakna usaha memperbaiki diri tidak perlu dilakukan. Tidak juga bermaksud berserah pada segala-galanya yang ditentukan. Cuma ia sebagai panduan kepada kita untuk lebih menghargai dan memahami. Kerana apabila kita menghargai dan memahami, saudara kita akan rasa dihargai dan difahami.

Kita perlu akui kelebihan kita tidak sama. Kecenderungan kita juga tidak sentiasa berada pada arah yang sama. Perbezaan kita wujud kerana latarbelakang kita yang berbeza. Juga pada asuhan kita yang tidak serupa. Bahkan pemikiran kita juga tidak selalunya seia sekata. Fahamilah dia dan ‘terimalah seadanya’.

Kita sering dibanding-bandingkan. Saya juga tidak terkecuali dibanding-bandingkan. Saya akui saya punya banyak kelemahan. Jangan dibandingkan saya dengan rakan-rakan yang hebat berbicara. Kerana saya bukanlah orang yang bijak menutur kata. Pintar bermain dengan kata-kata dan bahasa. Bahkan jauh sekali bermadah pujangga.

Pernah saya mencuba untuk menulis. Namun ternyata di situ juga saya tiada kelebihan. Maksud yang ingin disampaikan lari dari apa yang dihajatkan. Fikiran menjadi buntu. Idea tidak datang untuk membantu. Keinginan ada namun keupayaan masih belum mampu.

Jika disenarai satu persatu kekurangan yang ada pada saya, sudah tentulah bicara ini akan semakin panjang. Cukuplah sekadar apa yang saya nyatakan. Mungkin bertambah ‘ramah’ bicara ini walaupun hakikatnya saya sering dianggap bukan seorang yang peramah. Itu juga kekurangan saya. Tidak pantas dalam berbual bicara.

Walau apa pun, saya cuba memberikan yang terbaik. Dan buat kesekian kalinya, kepada pembaca-pembaca yang mengenali saya, saya pohon… ‘terimalah saya seadanya’.

..kumpul dan simpan..

Baru sebentar tadi dapat barang untuk dijadikan tambahan koleksi simpanan. Terbayang-bayang koleksi yang telah terkumpul sekarang. Bukan tertumpu pada satu jenis, tetapi bercampuk aduk. Apa nak buat.. dah memang tabiat saya sebegini. Gemar mengumpul sesuatu. Maksudnya? Hm.. sukar nak dijelaskan. Untuk memudahkan cerita, tabiat menyimpan ataupun mendapatkan ‘sesuatu’ sudah sebati dengan diri.

Imbasan kisah di sebuah kedai..
“Hisham, ko beli makanan ni sebab ko nak hadiah percuma tu kan?”
“Dah tau dah, ko beli milo tu sebab ko nak cawan percuma.. betul tak?”
He he.. selembar kisah sahaja. Itu cuma dari satu segi. Suka mengumpul barangan-barang percuma hasil pembelian barang lain.

Apa lagi tabiat mengumpul yang ada? Kisah tadi tidaklah penting sangat. Yang penting adalah tabiat mengumpul yang lagi satu. Ia lahir dari sifat menghargai, yang turut meliputi rasa kasih, sayang juga rasa terima kasih. Dengan bahasa mudah, apa sahaja yang diberikan oleh orang lain saya akan simpan dan jaga sebaiknya.

Surat ucapan tahniah dari seorang ustaz waktu saya di tingkatan satu masih lagi elok tersimpan dalam kotak. Begitu juga surat daripada kawan-kawan bilamana saya berpindah sekolah. Bahkan surat daripada PILOT SDN. BHD kerana berjaya mendapat saguhati dalam peraduan masih lagi tersimpan walaupun lebih 5 tahun berlalu!

Cenderamata-cenderamata yang diterima tetap tersimpan elok (walaupun ada yang tak dapat diselamatkan daripada anak-anak saudara). Penanda buku yang selalu diperolehi ketika mengikuti majlis di UM juga tersimpan kemas. Macam-macam jenis dan bentuk. Semuanya mengembalikan nostalgia di zaman bergelar mahasiswa.

Dan, antara ‘sesuatu’ yang dikumpul, yang tidak boleh diterima oleh kawan-kawan saya ialah tabiat mengumpul SMS dan EMAIL (bila teknologi ini berkembang)! Bagi saya ia bukan sesuatu yang pelik. Memandangkan handset saya cuma boleh menyimpan 25 SMS sahaja, maka saya telah menyediakan buku khas untuk menyalin SMS yang telah diterima. Ini yang tidak boleh diterima oleh kawan-kawan saya!!( jangan terkejut sebab ada juga yang telah terpengaruh dengan tabiat saya.. he he)

Jika sebelum ini surat dan kad yang diterima mudah untuk disimpan, tetapi bila munculnya teknologi seperti SMS ni, maka terasa sayang jika terpaksa di’delete’ mesej yang telah diterima. Disebabkan itu, setiap salinan SMS dan EMAIL yang diterima perlu dicatat, bahkan lengkap dengan tarikh dan masa. Senang untuk dibuat rujukan. Jangan sesekali hendak menipu saya kerana saya ada salinan yang membuktikan segala-galanya!! Ia lebih kurang sama dengan memoir / catatan harian. Saya boleh kesan bila kali terakhir si polan hantar SMS kepada saya… memang menyeronokkan…

Tapi, terkadang ada juga SMS yang tak sempat disalin dan ada yang dipadam terus. Bergantung kepada ‘budi bicara’ saya sendiri.

Apa-apa pun, tabiat mengumpul dan menyimpan memang sebati dalam diri saya. Simpanan surat
dan kad raya dah penuh satu kotak.. alat tulis dan rantai kunci pun boleh tahan juga. Buku-buku dan majalah, tak perlu dinyatakan. Cenderamata. Sampul surat. Dan segala-galanya. Terima kasih kepada mereka yang telah memberikan kepada saya. Jangan risau kerana saya akan memastikan ia dalam keadaan baik. Dan tidak lupa juga SMS dan EMAIL yang dihantar kepada saya… he he.